Pencerobohan Israel di selatan Lubnan langgar undang-undang

WorldPolitics
13 Aug 2026 • 7:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pencerobohan Israel di selatan Lubnan langgar undang-undang

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, pada Rabu mengecam tindakan Israel yang didakwa melakukan ‘kemusnahan sistematik’ di selatan negara itu, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata tentera negara itu sedang memusnahkan semua rumah di kawasan berkenaan.

Salam berkata serangan, pencerobohan, perobohan dan kemusnahan sistematik terhadap rumah, infrastruktur, bangunan kerajaan serta tempat ibadat merupakan ‘pelanggaran serius’ terhadap prinsip dan peraturan undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menolak dakwaan kampung dan bandar di selatan Lubnan merupakan ‘kemudahan ketenteraan’ sepenuhnya, sambil menegaskan alasan itu tidak boleh digunakan untuk memusnahkan kawasan berkenaan, memindahkan penduduk atau menghalang mereka daripada kembali.

Sementara itu, Katz yang mengadakan lawatan ke selatan Lubnan pada Rabu berikrar untuk mengekalkan tentera Israel di kawasan yang dipanggil zon keselamatan.

Beliau berkata tentera Israel sedang memusnahkan infrastruktur bawah tanah serta semua rumah di kawasan berkenaan.

Hizbullah mengheret Lubnan ke dalam perang di Asia Barat pada Mac selepas melancarkan serangan terhadap Israel, yang kemudian bertindak balas dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat. Pihak berkuasa Lubnan berkata, serangan berkenaan mengorbankan lebih 4,300 nyawa.

Rangka kerja perjanjian yang dicapai antara Lubnan dan Israel pada akhir Jun merangkumi pelucutan senjata kumpulan yang disokong Iran itu, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan, bermula di zon perintis.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Katz, seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata Washington menjangkakan semua pihak bertindak selaras dengan Rangka Kerja yang dipersetujui, dan Israel dengan jelas menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menguasai wilayah Lubnan.

“Kehadiran tentera secara kekal di selatan Lubnan tidak selaras dengan komitmen yang dibuat dalam Rangka Kerja itu atau kepentingan keamanan dan keselamatan jangka panjang kedua-dua negara,” katanya dalam e-mel kepada AFP.

The post Pencerobohan Israel di selatan Lubnan langgar undang-undang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved