
TEL AVIV: Israel bersedia untuk meneruskan serangan terhadap Iran tanpa penglibatan Amerika Syarikat (AS) ketika Presiden Donald Trump memilih unrtuk menggunakan pendekatan tekanan ekonomi bagi melemahkan Teheran berbanding meningkatkan semula operasi ketenteraannya.
Menurut saluran televisyen Israel, Channel 13, negara haram itu masih mempertimbangkan pilihan untuk melancarkan serangan terhadap Iran secara unilateral.
Tentera Israel dilaporkan meneruskan persiapan bagi kemungkinan melancarkan serangan itu ketika Washington berusaha mencari ‘jalan diplomatik’ untuk menamatkan konflik dengan Iran.
Perkembangan itu berlaku ketika kebimbangan dalam pentadbiran AS semakin meningkat mengenai risiko peningkatan konflik dengan Iran.
Perang itu bermula pada 28 Februari apabila AS bersama Israel menyerang Teheran selepas rundingan mengenai senjata nuklear gagal di Switzerland sehingga membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine, dilaporkan memberi amaran kepada pegawai kanan bahawa tindakan ketenteraan berterusan boleh mencetuskan risiko baharu, manakala objektif Trump di Iran mungkin sukar dicapai menerusi serangan udara semata-mata.
CNN sebelum ini melaporkan Caine sedang berusaha mencari ‘jalan keluar’ daripada konflik berkenaan dan membincangkan perkembangan perang dan pilihan ketenteraan dengan pegawai kanan pentadbiran Trump, termasuk Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Ratcliffe; Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Naib Presiden, JD Vance.
Menurut laporan itu, Caine turut menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan konflik boleh membawa kepada kesan yang tidak dijangka dengan berpandangan kuasa udara sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mencapai objektif pentadbiran AS di Iran.
Pada masa sama, Trump memberi isyarat Washington mahu menggunakan tekanan ekonomi untuk melemahkan Iran berbanding mengambil risiko meningkatkan semula pertempuran.
Dalam temu bual dengan Axios, Trump berkata, AS buat masa ini mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Iran dan hanya menjalankan rundingan secara terhad selain memantau keadaan ekonomi negara itu yang semakin merosot.
“Kami hanya memerhatikan Iran dengan kadar inflasi yang tinggi dan hakikat mereka tidak mempunyai wang,” katanya.
Trump mendakwa ekonomi Iran berada dalam keadaan ‘sangat teruk’, selain menyifatkan sekatan laut AS sebagai faktor yang meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Republik Islam itu dan memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu.
Perbezaan pendekatan itu menunjukkan kemungkinan wujud jurang antara Washington dan Tel Aviv mengenai cara terbaik menamatkan konflik, khususnya jika AS memilih untuk menghentikan operasi ketenteraan tanpa mencapai semua matlamatnya terhadap Teheran.
Bagi Israel, berakhirnya operasi ketenteraan AS tidak semestinya bermakna ancaman Iran sudah berakhir, sekali gus mendorong Tel Aviv mengekalkan pilihan untuk bertindak sendiri.
Keadaan itu berpotensi memanjangkan konflik walaupun Washington berjaya mencapai persetujuan dengan Teheran, selain meningkatkan risiko pertempuran baharu sekiranya Israel memilih untuk meneruskan serangan tanpa sokongan langsung AS.
Pegawai Israel berulang kali berkata bahawa mereka tidak akan menerima sebarang usaha Iran untuk membina semula atau memperluaskan keupayaan yang dianggap Tel Aviv sebagai ancaman keselamatan utama, khususnya program peluru berpandu balistik dan infrastruktur berkaitan nuklear Teheran.
The post Israel mahu serang Iran tanpa bantuan AS appeared first on Utusan Malaysia.



