
GAZA: Israel memperluaskan ‘garisan kuning’ lebih jauh ke dalam Gaza, menyebabkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal serta memperketatkan kepungan dengan mengehadkan pergerakan lebih dua juta penduduk ke kawasan yang teruk terjejas akibat perang.
Penduduk al-Tuffah di utara Gaza mendapati penanda konkrit garisan berkenaan dialihkan ke arah barat hingga tengah Jalan Salah al-Din, laluan utama menghubungkan bahagian utara dan selatan Gaza.
Bendera Israel turut dinaikkan ke atas benteng pasir dan tanah setinggi tiag meter yang dibina berhampiran kawasan berkenaan.
Imej satelit menunjukkan skala kawasan berpagar yang meliputi sebahagian besar wilayah Palestin terkepung itu.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, penduduk Gaza melaporkan berlaku pengusiran oleh Israel serta sekatan terhadap kepulangan mereka ke kediaman asal berikutan pembinaan tembok pasir tinggi.
Di bawah perjanjian yang dicapai bersama Hamas pada Oktober lalu dengan pengantaraan Amerika Syarikat (AS), Israel sepatutnya berundur ke garisan kuning, namun masih mengekalkan kawalan sementara ke atas 53 peratus kawasan Gaza.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza, kemudian mendakwa tenteranya kini menguasai lebih 60 peratus wilayah berkenaan.
Pada Mei lalu, beliau mengarahkan untuk meningkatkan penguasaan itu kepada 70 peratus kawasan Gaza.
Angka korban akibat perang Israel di Gaza meningkat kepada 73,335 orang, manakala sekurang-kurangnya 174,052 rakyat Palestin dilaporkan cedera sejak 7 Oktober 2023, menurut sumber perubatan.
Sejak perjanjian berkenaan dicapai, Israel telah membina lebih 42 kilometer benteng yang meliputi kira-kira 85 peratus kawasan di sepanjang garisan kuning itu.
Pembinaan kubu pertahanan, pangkalan tentera serta benteng yang semakin diperluaskan menunjukkan kemungkinan berlakunya pendudukan berpanjangan, selain secara berkesan mengubah semula sempadan lebih jauh ke dalam Gaza.
Berhampiran al-Mawasi, satu benteng dilaporkan memanjang lebih 1.5 kilometer melepasi garisan yang asalnya dipetakan dalam perjanjian tersebut. Satu lagi benteng di Khan Younis pula melangkaui garisan berkenaan lebih 500 meter.
Perubahan sempadan yang semakin bergerak ke hadapan itu berulang kali menyebabkan penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.
Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira 30 keluarga kehilangan khemah mereka.- AGENSI
The post Israel makin perluas kawalan ke dalam Gaza appeared first on Utusan Malaysia.






