Israel ugut rampas lebih banyak wilayah di Gaza, Lubnan dan Syria

WorldPolitics
19 Nov 2026 • 9:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel ugut rampas lebih banyak wilayah di Gaza, Lubnan dan Syria

TEL AVIV: Israel mengancam untuk merampas lebih banyak wilayah di Gaza, Lubnan dan Syria sekiranya ketegangan di kawasan berkenaan meningkat susulan kemungkinan tercetusnya perang baharu dengan Iran.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, tentera negara itu akan terus menguasai kawasan yang disifatkan sebagai ‘zon keselamatan’ di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Israel kini menduduki kira-kira 70 peratus kawasan Semenanjung Gaza, selain beberapa wilayah di Lubnan dan Syria yang sebahagiannya telah dikuasai sejak beberapa dekad lalu.

“Seperti yang telah kami tegaskan, Israel tidak akan berundur daripada kedudukan semasa di zon keselamatan ini atau mengundurkan tenteranya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Anadolu.

Katz berkata, pengunduran tentera Israel hanya akan dipertimbangkan sekiranya Hamas dilumpuhkan dan Semenanjung Gaza dinyahketenteraan.

Beliau turut menuntut Hizbukonllah dilucutkan senjata di seluruh Lubnan serta semua ancaman kumpulan jihad dari Syria, seperti yang didakwanya, dihapuskan.

“Sekiranya ketegangan meningkat di pelbagai medan, kami bersedia sepenuhnya untuk merampas wilayah tambahan, memindahkan penduduk tempatan dan memasukkannya ke dalam perimeter keselamatan kekal Israel,” katanya.

Kenyataan beberapa pegawai Israel, termasuk Katz, mencerminkan jangkaan kemungkinan konflik semakin memuncak, khususnya di Gaza dan Lubnan, sekiranya Israel kembali berperang dengan Iran.

Amaran mengenai kemungkinan itu semakin meningkat di Israel dengan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu, didakwa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyambung semula perang terhadap Iran bagi mengekalkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Pemimpin Blok Perubahan yang diketuai Gadi Eisenkot, yang diberi tanggungjawab membentuk kerajaan baharu, mendakwa Netanyahu mahu mengisytiharkan darurat bagi membolehkan penubuhan kerajaan perpaduan nasional yang turut disertainya.

Netanyahu mengetuai kerajaan berhaluan kanan ekstrem sejak akhir 2022, yang disifatkan sebagai kerajaan paling ekstrem dalam sejarah Israel.

Beliau juga sedang dibicarakan atas beberapa pertuduhan rasuah yang boleh menyebabkannya dipenjarakan sekiranya didapati bersalah.

Selain itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 2024 berhubung dakwaan jenayah perang di Semenanjung Gaza sejak 2023.

The post Israel ugut rampas lebih banyak wilayah di Gaza, Lubnan dan Syria appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved