Istana Pahang nafi tawar bantuan dan hadiah kepada orang ramai

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Istana Pahang nafi tawar bantuan  dan hadiah kepada orang ramai
Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang bentuk tawaran bantuan kepada orang ramai oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang bentuk tawaran bantuan kepada orang ramai oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang disebarkan di platform TikTok.

Menerusi hantaran di Facebook, Kesultanan Pahang menjelaskan penafian itu dibuat selepas Istana Pahang mengesan akaun palsu menggunakan nama Tengku Tengku (@tengku.tengku93).

Akaun tersebut meminta pengguna medium berkenaan menghantar mesej dengan menyertakan nombor telefon bagi mendapatkan tawaran hadiah yang sebenarnya tidak wujud.

Berdasarkan kenyataan itu, baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, yang dilihat banyak dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama dan gambar baginda untuk memperdaya orang ramai.

"Begitu juga dengan akaun-akaun palsu terutamanya di Facebook dan TikTok yang menggunakan nama dan gambar Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah," menurut kenyataan itu.

Istana Pahang menegaskan semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung di dalamnya.

Jelas kenyataan itu, orang ramai diminta membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

"Semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya terdapat satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan kira-kira 773,000 pengikut ketika ini.

"Manakala di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok dan YouTube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my," menurut kenyataan tersebut.