Polis minta bantuan kesan Irene Nur Hairina

20 Apr 2026 • 10:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis minta bantuan kesan Irene Nur Hairina
Irene Nur Hairina dilaporkan hilang sejak 16 April lalu. Foto IPD Muar

MUAR - Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 16 April lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Irene Nur Hairina Mohd Rozanna, 19, kali terakhir dilihat sekitar jam 6.40 petang menunggang motosikal Yamaha Avantis berwarna biru gelap.

"Laporan kehilangan dibuat oleh ibu remaja berkenaan di Balai Polis Parit Jawa pada 17 April. Sehingga kini mangsa gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

"Siasatan awal mendapati remaja itu dipercayai keluar kerana perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, usaha pencarian oleh polis dan keluarga di sekitar kampung serta bandar Muar telah dijalankan, namun remaja itu masih belum ditemui.

Menurutnya, remaja berkenaan berketinggian kira-kira 170 sentimeter, berat sekitar 90 kilogram, berkulit kuning langsat dan bermata bulat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Parit Jawa di talian 06-9874122 atau hotline IPD Muar 06-9564800 bagi membantu siasatan.