
KUANTAN – Istana Pahang menafikan dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pernah menawarkan bantuan kewangan atau kebajikan melalui platform media sosial, TikTok.
Jurucakap istana menerusi kenyataan rasmi memaklumkan, terdapat akaun TikTok menggunakan nama ‘Datuk Muhammad Yusuf’ yang aktif menipu orang ramai dengan memanipulasi imej baginda menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Istana Pahang menegaskan bahawa ini adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mencemarkan nama baik institusi diraja,” katanya.
Beliau memberi amaran, penyalahgunaan imej Tunku Azizah menggunakan teknologi AI adalah isu serius dan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati.
“Ini adalah isu serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, kerana membabitkan institusi diraja dan rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan sebarang maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan melalui media sosial,” katanya.
Orang ramai juga diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej mencurigakan atau dihubungi atas nama Tengku Ampuan Pahang. - Getaran, 8 September 2025

