KULIM - Seorang lelaki dipercayai sempat mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya selepas disyaki menikam isterinya sebanyak 13 kali dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam sebelum suspek berusia 43 tahun itu hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira 10 minit kemudian dan memaklumkan telah menikam isterinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut ditikam 13 kali, suami serah diri
Menurutnya, selepas kejadian, suspek yang juga penganggur dipercayai mandi sebelum mengambil anak mereka berusia tiga tahun daripada pengasuh.
**media[3647915]**
"Suspek kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Juru.
"Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri," katanya.
**media[3648001]**
Syamsul berkata, suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku menikam isterinya yang berusia 39 tahun sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di bilik tidur utama yang didiami pasangan berkenaan bersama anak mereka.
"Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil dan beberapa barangan lain di atas katil.
**media[3648002]**
"Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah turut hadir dan mengambil 11 sampel berkaitan kejadian," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian kemungkinan berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa akibat cemburu.
Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam.
Syamsul berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9 malam ketika berada di Balai Polis Lunas.
**media[3648003]**
"Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes.
"Temu bual awal bersama jiran mendapati mereka tidak mendengar sebarang pertengkaran dipercayai disebabkan hujan lebat ketika kejadian," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






.jpg)