Angkara Cemburu, Isteri Maut Ditikam Suami 13 Kali

15 Sep 2026 • 12:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Angkara Cemburu, Isteri Maut Ditikam Suami 13 Kali

KULIM - Pertengkaran dipercayai berpunca daripada rasa cemburu berakhir dengan tragedi, selepas seorang wanita maut ditikam 13 kali oleh suaminya menggunakan pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun mengalami tujuh kesan tikaman di bahagian dada, lima di perut dan satu di bahagian rusuk kanan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun kemudian hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira jam 8.40 malam dan memaklumkan kepada anggota bertugas bahawa dia telah menikam isterinya.

“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Suspek ditahan kira-kira jam 9 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim ketika berada di Balai Polis Lunas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan awal di rumah teres setingkat berkenaan mendapati kejadian berlaku di bilik tidur utama yang dikongsi suspek, mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil,” katanya.

Syamsul berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas pasangan berkenaan bertengkar berkaitan isu cemburu dan masalah rumah tangga.

“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.

“Selepas kejadian, suspek mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di kawasan rehat Juru,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat,” katanya.

Syamsul berkata, ujian air kencing suspek didapati negatif dadah dan pemeriksaan turut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 15 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved