KULIM - Ahli keluarga wanita yang maut ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya di sebuah rumah di Taman Tiram di sini pada Isnin tidak mengetahui mangsa berdepan sebarang masalah rumah tangga sepanjang lima tahun mendirikan rumah tangga.
Ibu saudara mangsa, D Kodimalar, 42, berkata, keluarga menyangka kehidupan pasangan berkenaan bahagia kerana mangsa, S Sila, 39, tidak menunjukkan atau menceritakan sebarang masalah yang dihadapinya.
“Kami sendiri tidak tahu jika mereka ada krisis kerana mereka nampak bahagia.
“Kalau dia ada bercerita dari awal, sudah tentu kami boleh tampil berikan bantuan dan menyelamatkannya daripada kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada Selasa.
**media[3648180]**
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut ditikam 13 kali, suami serah diri
Isteri maut ditikam suami 13 kali: Suspek sempat mandi, ambil anak sebelum serah diri
Suami tikam isteri 13 kali direman, suspek serah pisau lipat
'Dia tak pernah cerita masalah rumah tangga' - Ibu saudara wanita maut ditikam suami
Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sangat terkejut dengan kejadian itu kerana suspek seorang yang peramah dan sangat sayangkan isteri dan anaknya, selain tidak merokok.
"Kami memang sedih dengan apa yang terjadi, kerana kami jaga mangsa dari dia kecil lagi, sekarang dia sudah tiada, kami akan jaga anaknya pula macam mana kami jaga dia dahulu,” katanya.
**media[3648193]**
Pada Isnin, media melaporkan seorang wanita maut disyaki ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram di Kulim pada jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, lelaki berusia 43 tahun itu mengaku telah menikam isterinya berusia 39 tahun sebanyak tujuh kali tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.
Kodimalar berkata, keluarganya menerima maklumat kejadian itu selepas adik suspek memaklumkan anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia tiga tahun telah diserahkan kepadanya bersama kunci rumah.
Menurutnya, ahli keluarga kemudian bergegas ke rumah mangsa dan tiba kira-kira jam 8.30 malam sebelum terpaksa memecahkan pintu kerana tidak dapat masuk.
**media[3648221]**
“Apabila pintu bilik dibuka, saya nampak dia dalam keadaan terbaring di atas katil dan berlumuran darah.
“Dia mengalami kesan tikaman dari bahagian dada hingga ke pusat,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ketika itu denyutan nadinya masih ada.
Katanya, doktor maklumkan walaupun nadinya masih ada ketika dibawa ke unit kecemasan namun fungsi jantungnya sudah terhenti.
“Pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan dan darah, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan,” jelasnya.
Tambah Kodimalar, kali terakhir dia bertemu mangsa pada Ogos lalu dan Sila dikenali sebagai seorang yang berani serta disayangi ahli keluarga.
Menurutnya, mereka sekeluarga hanya mampu menerima ketentuan ini dan memastikan urusan jasadnya diselesaikan sebaik mungkin.
“Jasad akan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Manis, Perai, Pulau Pinang, tempat dia dibesarkan sejak kecil,” katanya.



.jpg)

