
JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri selesai menunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) berbeza iaitu di Johor dan Negeri Sembilan, selang sebulan. Pegawai bank, Badrull Hisyam Adam, 36, berkata, dia pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan untuk mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, awal pagi tadi. “Bulan lalu, saya menemani isteri, Rasyidah Supaid untuk mengundi pada PRN Johor. Hari ini, dia pula menemani saya untuk mengundi dalam PRN Negeri Sembilan. “Menariknya, walaupun dia sudah mengundi hampir sebulan lalu, tetapi bekas dakwat di jarinya masih ada, jadi kami boleh bergambar bersama-sama sebagai pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Tambah bapa kepada lima cahaya mata itu, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mengundi walaupun kini sudah menetap di kampung halaman isterinya di Pasir Gudang, di sini. “Hak mengundi itu hanya diperolehi rakyat tempatan, jadi saya pasti tidak akan melepaskan peluang ini. Saya juga berpeluang bawa isteri dan anak-anak pulang ke kampung halaman saya sempena cuti hujung minggu,” katanya. Sementara itu, Rasyidah, 36, pula memberitahu, pada PRN Johor yang diadakan 11 Julai lalu, dia menunaikan tanggungjawab itu di DUN Johor Jaya. “Kami bergerak ke Negeri Sembilan dari kediaman di Pasir Gudang pada pukul 5 pagi. Alhamdulillah sepanjang perjalanan dan juga urusan pengundian berjalan dengan lancar. “Sebelum ini suami teman saya, hari ini saya teman dia,” katanya yang bekerja sendiri.-UTUSAN
The post Isteri mengundi PRN Johor ‘teman’ suami mengundi PRN Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






