KUALA PILAH – Kasih seorang isteri terhadap suaminya dibawa hingga ke hujung nyawa apabila dia meninggal dunia tiga hari selepas suami tercinta pergi buat selama-lamanya.
Julibah Mahat, 82, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.50 pagi pada Rabu di kediamannya di Kampung Tanjung Ipoh di sini.
Tiga hari sebelum itu, suaminya yang merupakan Penghulu Luak Ulu Muar ke-13, Datuk Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan Datuk Mansor Yusof, 87, meninggal dunia pada jam 9.20 malam pada Ahad lalu di rumah yang sama.
Menurut anak mereka, Raimihisham, 55, kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia akibat sakit tua selepas mengalami demam dan batuk sejak beberapa hari sebelum itu.
**media[3453662]**
Katanya, arwah bapanya meninggal dunia selepas waktu berbuka puasa dalam keadaan tenang di sisi isteri, dua orang anak perempuan serta cucu.
“Selepas selesai pengebumian arwah ayah, saya tengok keadaan batuk emak semakin teruk sehingga dia sukar bernafas.
"Kami kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut dan doktor menasihatkan supaya emak dimasukkan ke wad," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, dia dan adik-beradik mengambil keputusan membawa emak pulang ke rumah selepas wanita itu menyatakan hasrat untuk mengadakan kenduri tahlil untuk arwah ayah.
“Sebelum itu kami ada bertanya pandangan doktor dan dimaklumkan tiada rawatan khusus selain rawatan biasa memandangkan usia emak yang sudah lebih 80 tahun.
"Jadi sebab itulah kami bawa emak pulang seperti mana yang dia mahu," katanya.
Selain itu, ditanya berkenaan hubungan ibu bapanya, Raimi memaklumkan yang mereka sangat rapat dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
Tambahnya, mereka juga tidak mempunyai masalah kesihatan serius, malah masih mampu melihat dan mendengar dengan jelas.
"Melihat hubungan mereka yang akrab, kami anak-anak pun sangat senang dan gembira," katanya.
Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Pemerak, Tanjong Ipoh bersebelahan satu sama lain.




