Negara hilang pakar tenusu tempatan - Bos Susu

LocalBusiness & Finance
5 Mar 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jacob meninggal dunia selepas helikopter yang dinaikinya terhempas dalam perjalanan ke sebuah tapak ladang di Filipina.
image is not available
Hantaran Facebook Azmi pada Rabu.

SHAH ALAM – Pemergian Pengarah Ladang Farm Fresh Bhd (Farm Fresh), Jacob Mathan yang maut dalam nahas helikopter di Filipina dianggap sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada industri tenusu negara.

Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai Bos Susu berkata, negara kehilangan seorang pakar tenusu tempatan atas pencapaiannya kepada syarikat itu setakat ini.

Kata Azmi, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee sebelum ini juga yakin Jacob merupakan calon paling layak untuk menerajui syarikat itu pada masa depan.

"Pernah satu ketika Tuan Ee borak-borak dengan saya 'Mi, Jacob tu kalau kita gilap lagi, beliau boleh jadi kita punya CEO yang seterusnya'. Begitulah yakinnya saya dan Tuan Ee pada Jacob. Ladang Taiping adalah hasil tangan Jacob dari A hingga Z.

"Kerja-kerja ladang beliau juga sangat teratur dan dia juga seorang ketua yang bagus. Jacob memimpin pasukan ladang seramai 400 orang," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

**media[3453708]**

Farm Fresh yang merupakan syarikat pengeluar produk tenusu tempatan terdahulu mengesahkan Jacob, 35, terkorban dalam nahas helikopter di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pada pagi Selasa.

Tuan Ee berkata, Jacob meninggal dunia pada jam 7.20 pagi selepas helikopter yang dinaikinya terhempas dalam perjalanan ke sebuah tapak ladang berpotensi di negara berkenaan.

Menurutnya, penerbangan yang pada awalnya dijangka sebagai perjalanan biasa bertukar menjadi tragedi selepas helikopter tersebut mengalami masalah enjin.

Berkongsi kisah bagaimana bermulanya kerjaya mediang di syarikat itu, Azmi berkata, Jacob bermula sebagai seorang pelajar praktikal di Farm Fresh pada 2013.

Ujarnya, ketika itu Tuan Ee banyak melatih Jacob sehinggalah beliau diberikan kepercayaan besar sebagai Pengarah Ladang.

“Jacob seorang pekerja yang sangat komited dan cepat belajar. Sebelum ini kalau urusan dengan jabatan veterinar atau penternak, banyak saya yang uruskan. Bila Jacob sudah mahir, perlahan-lahan saya serahkan urusan pada beliau.

"Dulu bila ada pelawat ke ladang saya akan ketuai dan Jacob akan ikut serta dengar saya bagi taklimat. Lama kelamaan saya serahkan tugas tu pada Jacob. Jacob bentang lagi bagus daripada saya.

"Kalau ada mesyuarat atau pembentangan pada kerajaan atau swasta saya dan Tuan Ee dah tak payah buka mulut lagi, semua Jacob buat," kata beliau.

Menyentuh mengenai detik duka beliau mengetahui tragedi yang menimpa Jacob, Azmi memberitahu pada awalnya beliau menerima panggilan daripada Pegawai Kedutaan Malaysia di Filipina yang meminta nombor telefon Jacob pada jam 10 pagi Selasa.

Bagaimanapun, ketika itu beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan pegawai tersebut ingin bertanya mengenai tanah di Filipina yang akan dijadikan ladang baharu Farm Fresh.

“Jam 11 pagi, Pengarah Urusan (GM) Farm Fresh hubungi saya kata helikopter yang Jacob naik terhempas. Saya berdoa beliau selamat. Tidak lama selepas itu, Tuan Ee telefon dan beritahu 'Mi, Jacob sudah tiada'.

"Saya terdiam dan tidak tahu nak cakap apa. Saya batalkan mesyuarat dan terus ke pejabat bincang dengan Tuan Ee. Saya terus tempah tiket dan terbang ke Manila. Saya hubungi Amy, isteri Jacob dan beritahu yang saya akan teman beliau ke Manila," tambahnya.

Menurut beliau, semasa bertemu dengan isteri Jacob di lapangan terbang, wanita itu kelihatan sangat kuat, tenang tetapi air matanya menitis.

“Beliau minta saya tunjukkan gambar Jacob kemalangan. Saya tanya adakah beliau okay untuk tengok, beliau jawab okay. Masa beliau tengok, air matanya mengalir dan cakap 'beliau (mendiang Jacob) sangat kacak'."

“Dan malam tadi ketika beliau tengok Jacob, beliau tenang, tak meraung, cuma air mata menitis sambil mengusap-usap dahi Jacob dan tersenyum. Amy dan Jacob satu universiti dulu. Sama jurusan dan praktikal dekat ladang Farm Fresh juga kalau tak silap saya,” kongsinya lagi.