
KLANG – Rasa berat hati seorang isteri melepaskan suami memancing menjadi kenyataan apabila lelaki itu bersama enam lagi individu masih belum ditemukan selepas bot mereka berdepan ombak setinggi tiga meter.
Perkara itu dimaklumkan Shahdan Samsuri, 41, yang berkata kakaknya sebelum itu sudah meluahkan kerisauan terhadap keputusan suaminya, Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, untuk menyertai trip memancing bersama enam lagi individu termasuk tekong.
Menurut Shahdan, memancing sememangnya menjadi hobi abang iparnya, namun kali ini isterinya berat hati untuk melepaskannya berikutan keadaan cuaca termasuk jerebu.
“Pada awalnya memang kakak tidak berapa sedap hati dan minta dia jangan pergi. Abang ipar juga memaklumkan pada saat akhir untuk keluar memancing.
“Dia (Mohd. Shahril) minta kakak kejutkan pukul 5 pagi untuk pergi memancing, tetapi kakak tetap pesan supaya tidak pergi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Sementa, Kapar di sini hari ini.
Shahdan berkata, abang iparnya yang mempunyai tiga anak berusia antara 11 hingga 17 tahun itu sepatutnya tiba semula di jeti kira-kira pukul 8 malam kelmarin.
“Trip ini sepatutnya sehari sahaja dan waktu balik juga bergantung kepada keadaan air pasang surut di jeti.
“Namun sehingga malam, kami gagal menghubungi mereka dan mula berasa tidak sedap hati,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada tekong-tekong lain, sebanyak 12 bot dipercayai keluar memancing pada hari kejadian.
“Bot yang dinaiki abang ipar bersama enam lagi termasuk tekong adalah antara yang terakhir dilihat sekitar pukul 3.30 petang.
“Ketika itu, keadaan laut dikatakan bergelora dengan ombak setinggi tiga meter dan jarak antara bot pula kira-kira 50 meter,” katanya.
Tambahnya, bot berkenaan dipercayai menghala ke perairan Pulau Ketam sebelum keadaan laut semakin bergelora pada malamnya.
“Setakat ini belum ada serpihan bot atau pakaian mangsa ditemukan. Kami hanya berharap mereka semua masih selamat dan dapat ditemui,” katanya.
Sementara itu, Ct. Rumainah Ruhaizat, 41, yang merupakan isteri kepada Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, berkata suaminya keluar memancing bersama adiknya, Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan abang iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45.
Katanya, mereka bertiga sempat bersarapan di rumah ibunya sebelum bertolak ke laut.
“Saya memang sudah tahu mereka hendak pergi memancing dan ini kali pertama suami melakukan hobinya di kawasan ini.
“Sebelum bertolak, suami sempat buat status kira-kira pukul 8.20 pagi dan masih berhubung melalui WhatsApp,” katanya.
Menurutnya, komunikasi terakhir bersama suaminya adalah kira-kira pukul 8.40 pagi sebelum talian terputus.
“Selepas itu memang tiada talian dan biasanya bila sudah dapat line semula pada waktu petang, dia akan WhatsApp.
“Suami ada cakap cuaca ketika itu okay, jadi saya tidak terfikir perkara buruk,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangannya mula terjadi apabila suaminya tidak pulang seperti dijadualkan pada malam kelmarin,
“Saya telefon tetapi tidak diangkat. Sampai pukul 9 malam masih begitu dan pada kira-kira 12 tengah malam, kakak beritahu tekong sudah mencari waris kerana mereka masih belum pulang.
“Kami terus datang ke sini dan menunggu perkembangan sehingga hari ini,” katanya.
Turut dilaporkan hilang dalam kejadian itu adalah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49, dan Zulfikalnain Awang, 47 yang bertindak tekong.
Kosmo! semalam melaporkan tujuh pemancing termasuk seorang tekong dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam. – KOSMO! ONLINE
The post Isteri pesan jangan pergi memancing appeared first on Kosmo Online.




