
KLANG – Tiga pemancing yang masih hilang dipercayai sempat berpimpin tangan bersama empat rakan mereka selepas bot dinaiki karam dipukul ombak di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam di sini.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa yang masih hilang, Shahdan Samsuri, 41, perkara itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp pemancing yang memaklumkan kesemua mereka sempat berpaut dan berpimpin tangan ketika bot berkenaan terbalik.
“Selepas itu, tangan mereka terlepas mungkin akibat dipukul ombak kuat dan hanyut mengikut keadaan laut,” katanya kepada Kosmo! di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini, hari ini.
Shahdan berkata, keluarganya berharap Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, dapat dijumpai dalam keadaan selamat.
“Kami berserah kepada Allah, dan berharap abang ipar saya ditemukan selamat,” jelasnya.
Turut masih dilaporkan hilang dalam insiden tersebut adalah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37; dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49. Setakat pukul 5.30 petang tadi, ketiga-tiga mereka belum lagi ditemui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong itu dipercayai terbalik sebelum karam selepas dilambung ombak setinggi empat meter.
Menurutnya, ketika kejadian keadaan cuaca dilaporkan ribut dan ombak kuat melanda kawasan perairan berkenaan.
“Cuaca buruk menyebabkan bot dinaiki pemancing itu terbalik dan karam,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! online melaporkan empat daripada kumpulan pemancing itu berjaya ditemukan selamat oleh bot nelayan tempatan di perairan Sekinchan kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.
Dua daripada mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala dua lagi ke Hospital Banting.
Kesemua mangsa dikatakan bertolak dari Jeti Sementa, Kapar kira-kira pukul 8.20 pagi bagi memancing ikan cencaru yang kini memasuki musimnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga pemancing berpimpin tangan sebelum terpisah appeared first on Kosmo Online.






