
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rasa cemburu sememangnya perkara yang normal dalam sesebuah perhubungan suami isteri mahupun pasangan bercinta. Namun perasaan ini jika tidak dikawal boleh mengundang seseorang melakukan perkara yang tidak sepatutnya termasuk jenayah dek kerana cemburu.
Suami tikam isteri disyaki kerana perasaan cemburu
Terbaharu seorang wanita di Kedah maut dipercayai akibat ditikam oleh suaminya di sebuah kediaman di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech pada malam tadi (14 September).
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring siasatan awal dilakukan mendapati insiden itu disyaki berlaku disebabkan daripada perasaan cemburu.
Tampil ke balai polis untuk serah diri dan serahkan sebilah pisau lipat
Ujarnya, suami kepada wanita berkenaan telah menyerahkan diri di Balai Polis Lunas sekitar jam 8.40 malam selain turut mengakui telah bertindak menikam isterinya yang berusia 39 tahun di rumah mereka.
Lelaki berusia 43 tahun itu sewaktu menyerah diri turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakannya dalam insiden terbabit.
Dia kemudiannya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di Balai Polis Lunas sekitar jam 9 malam.
Suami mengaku tikam isteri 13 kali
Jelas Syamsul, lelaki itu mengaku dia menikam isterinya sebanyak 13 kali dengan:
- Tujuh tikaman di dada
- Lima di perut
- Satu di rusuk kanan
13 tikaman tersebut dipercayai menggunakan pisau lipat berkenaan.
Insiden berlaku dalam bilik tidur pasangan terbabit
“Kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama rumah teres setingkat yang didiami suspek, mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan dipercayai darah pada cadar, tilam, bantal , kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.
“Pasukan dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah telah mengambil 11 sampel berkaitan kejadian,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Tambah Syamsul lagi, hasil siasatan awal dilakukan turut mendapati kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pertengkaran di antara suami isteri berkenaan berhubung masalah rumah tangga dan cemburu.
Lelaki sempat mandi, ambil anak dari pengasuh, beri anak pada kakak sebelum serah diri pada polis
“Selepas kejadian, suspek dikatakan mandi dan mengambil anak daripada pengasuh sebelum menyerahkan kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia menikam isteri, sebelum ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,”
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim oleh keluarga sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam.
Jiran tak dengar pasangan suami isteri bertengkar kerana hujan lebat
“Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes.
“Hasil temu buat awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar pertengkaran dipercayai berikutan hujan lebat ketika kejadian.
“Suspek berasal dari Parit Buntar, Perak, adalah penganggur tetapi hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan tiada rekod jenayah,” jelasnya lagi.
Mayat wanita itu kemudiannnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, untuk dibedah siasat manakala kes pula disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






