Istiadat DUN Negeri Sembilan tetap diteruskan tanpa Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 11:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Istiadat DUN Negeri Sembilan tetap diteruskan tanpa Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin
Tuanku Muhriz tiba di pekarangan Bangunan DUN Negeri Sembilan disambut MK Ibrahim, Aminuddin dan Mohd Zafir.
Image from: Istiadat DUN Negeri Sembilan tetap diteruskan tanpa Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin
Tuanku Muhriz memeriksa kawalan kehormatan pada majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 pada Khamis tetap berlangsung seperti biasa meskipun tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aisah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di bangunan DUN Negeri Sembilan sekitar jam 9.36 pagi.

Baginda disambut oleh Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama yang diketuai tiga pegawai serta 103 anggota Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Syed Sirajuddin.

Seterusnya baginda memasuki Dewan dan menyampaikan titah sekitar jam 10.25 pagi.

**media[3499589]**

Terdahulu baginda yang dilihat keluar dari Istana Hinggap di sini menaiki kenderaan sempat melambai tangan kepada kumpulan Sekretariat Sokongan dan Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar yang berada di tepi jalan.

Kumpulan tersebut sebelum itu menyerahkan Memorandum Sokongan dan Taat Setia Anak Waris, Ibu Soko, Buapak, Lembaga ADAT Luak Nan 4 ke atas baginda.

Penyerahan memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Sekretariat, Prof Dr Mohd Aluwi Sari kepada Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin.

Lewat tengah malam pada Rabu, Empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin memaklumkan tidak akan hadir dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin).

Mereka turut menasihatkan agar istiadat tersebut ditangguhkan sementara sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Keputusan berkenaan dibuat susulan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz oleh mereka pada 19 April lalu serta melihat kepada situasi mutakhir ini.