
ARAU: Istiadat perbarisan Diraja dan pengurniaan watikah tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) cukup bersejarah yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.
Istiadat disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri baginda, Sharifah Farah Adriana.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Penganjuran istiadat ke-44 itu membabitkan seramai 1,885 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan 1,218 kadet Darat, 389 Laut dan 278 Udara.
Baginda juga berkenan mengurniakan anugerah pedang kehormat kepada 39 pegawai kadet terbaik bagi setiap perkhidmatan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan Palapes.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pegawai muda yang baharu ditauliahkan diingatkan supaya memahami tanggungjawab besar yang hadir bersama amanah sebagai seorang pegawai.
Titah baginda, tanggungjawab mempertahankan negara bukan sekadar tugas, sebaliknya komitmen dan tanggungjawab kepada tanah air.
“Pada masa yang sama, peliharalah nama baik institusi Raja, Angkatan Tentera Malaysia, universiti dan pasukan diwakili. Tampilkan keteladanan dalam tutur kata, tingkah laku dan tindakan kerana setiap pegawai bukan sahaja membawa nama organisasi namun turut memikul maruah dan amanah negara.
“Berkhidmatlah dengan ilmu, berjuanglah dengan keberanian dan berdirilah teguh demi Malaysia yang berdaulat, aman dan dihormati,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan generasi pertahanan baharu mengenai landskap keselamatan yang semakin kompleks.
“Ancaman terhadap negara tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional. Serangan siber, peperangan hibrid, penggunaan dron, kecerdasan buatan dan ketidaktentuan politik global kini membentuk landskap keselamatan yang perlu kita hadapi,” titah baginda.
Sempena istiadat pentauliahan itu, Unimap turut membuka ruang kepada masyarakat setempat merasai kemeriahannya dengan pelbagai aktiviti pameran aset dan demonstrasi ketenteraan yang berlangsung selama tiga hari di sekitar Padang Kawad dan Dataran Boulevard.-UTUSAN
The post Istiadat pertauliahan Palapes penuh bersejarah di Unimap appeared first on Utusan Malaysia.





