
KANGAR: Penyertaan hampir 2,000 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) yang memenuhi trek ketika perbarisan dan perarakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri ini antara yang menarik perhatian lebih 50,000 pengunjung yang memenuhi Kompleks Tuanku Syed Putra, di sini semalam.
Penyertaan besar-besaran pegawai kadet tersebut juga adalah hasil cetusan titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya mereka turut dilibatkan dalam sambutan berkenaan.
Pasukan berkenaan antara 70 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perbarisan tersebut.
Berangkat pada sambutan berkenaan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat pada sambutan yang berlangsung cukup meriah itu adalah Tuanku Syed Faizuddin; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Majlis turut diserikan dengan persembahan beberapa artis terkenal antaranya Liza Hanim, Nawary Kilauan Emas, Kugiran Wak Jeng, Renjaka Band dan Guitar Rockestra.
Antara persembahan lain yang menarik perhatian seperti Pancaragam Gabungan Markas 30 Bridged, Persembahan Khas Seni Bela Diri, Pantomim Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persembahan Rentak Anak Malaysia.
Tepat detik 12 tengah malam, laungan ambang merdeka diketuai oleh Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bergema di Kompleks Tuanku Syed Putra dengan bersama acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Lagu Negaraku sebelum dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api yang menjadi simbolik penutup sambutan berkenaan.
Abu Bakar berharap seluruh rakyat dapat melihat kemerdekaan bukan hanya sebagai warisan daripada generasi terdahulu sebaliknya amanah yang perlu diserahkan dalam keadaan lebih baik kepada generasi akan datang.
“Erti kemerdekaan juga perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat. Kita bukan sekadar menjadi pewaris kemerdekaan tetapi turut menjadi pencorak masa depan,” katanya. – UTUSAN
The post 50,000 meriahkan sambutan ambang merdeka di Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






