
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam, kecoh di aplikasi X mengenai satu tangkap layar respon Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Charles Brewer berhubung satu aduan oleh seorang kakitangan mengenai baju seragam yang rosak.
Menerusi tangkap layar perbualan yang dipercayai berlaku dalam aplikasi dalaman Pos Malaysia, pekerja terlibat yang dipercayai seorang posmen serahan membuat aduan mengenai pakaian seragamnya yang rosak.
Malah dia turut bertanya bilakah dia akan menerima pakaian baharu.
“Assalamualaikum, bila baju baru nak dapat? Baju lama dah dah teruk sangat ni sampai pelanggan pun dah tegur.”
Apa yang mencuri tumpuan orang ramai adalah respon balas Brewer yang berpendapat kakitangan itu sepatutnya bersyukur kerana terdapat syarikat kurier di luar negara yang langsung tidak menyediakan uniform buat pekerja.
Namun menurut pekerja tersebut, perkara tersebut sebenarnya disedari oleh pelanggan yang telah menegurnya.
“Bukan saya yang tanya (baju koyak) pelanggan yang tegur,” balasnya kepada Brewer.
Perkongsian tersebut yang pada asalnya dimuat naik di Threads nyata mencuri perhatian netizen.


CEO Pos Malaysia Mohon Maaf
Terbaharu Brewer tampil memohon maaaf kepada kakitangan terkesan berhubung responnya terhadap isu dalaman itu.
Brewer turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
Pos Malaysia menerusi satu kenyataaan yang dikongsikan di media sosial berkata, Brewer dengan sejujurnya turut mengakui bahawa respon beliau seharusnya lebih berempati.
“Dengan penuh ikhlas, kami ingin mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini, yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac 2025 melibatkan pakaian seragam yang rosak.
“Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.”
Malah beliau (Brewer) berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.
“Kami sedang menambah baik proses dalaman kami untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
“Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” tulis Pos Malaysia lagi.


