Isu babi: Titah Sultan Selangor selari sistem Raja Berperlembagaan - INDEC

LocalPolitics
7 May 2026 • 2:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu babi: Titah Sultan Selangor selari sistem Raja Berperlembagaan - INDEC
Laporan Sinar Harian pada 20 April 2026.

SHAH ALAM - Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri ini tidak seharusnya dilihat sebagai campur tangan dalam pentadbiran, sebaliknya sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam sistem Raja Berperlembagaan negara.

Pengarah Penyelidikan Dasar dan Undang-undang di Insight Development Centre (INDEC), Muna Rime berkata, polemik berhubung isu itu kini berkembang menjadi perbahasan lebih besar mengenai kedudukan institusi Raja dalam sistem demokrasi Malaysia.

Menurutnya, ramai masih salah faham terhadap konsep Raja Berperlembagaan dengan menganggap sultan hanya sekadar memperkenankan keputusan kerajaan tanpa sebarang pertimbangan.

"Dalam sistem Raja Berperlembagaan, tidak semua perkara menjadikan sultan sekadar penerima nasihat.

"Dalam keadaan tertentu, Perlembagaan masih memberikan ruang budi bicara serta hak untuk menzahirkan pandangan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan polemik berhubung titah Sultan Selangor yang berpandangan penternakan babi tidak lagi sesuai diteruskan di Selangor.

Muna berkata, jika sultan mahu campur tangan secara mutlak dalam pentadbiran negeri, aktiviti penternakan babi di Selangor sudah lama dihalang.

Sebaliknya, katanya, isu pencemaran daripada ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat berlarutan lebih sedekad menyebabkan rakyat terus mengadu mengenai pencemaran bau, sungai dan alam sekitar sebelum baginda akhirnya menzahirkan kebimbangan secara terbuka.

Menurutnya, titah Sultan Selangor juga tidak menyentuh soal kaum atau agama, sebaliknya tertumpu kepada kepadatan penduduk, keterbatasan tanah serta risiko pencemaran sekiranya industri berkenaan berkembang menjadi penternakan berskala besar berorientasikan eksport.

"Kebimbangan tersebut relevan memandangkan pemindahan operasi penternakan ke Bukit Tagar melalui pembangunan ladang babi moden berpusat masih terdedah kepada isu pencemaran sekiranya aspek pemantauan dan penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara tegas,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum pendirian kerajaan Persekutuan menunjukkan isu tersebut telah berkembang menjadi polemik nasional.

Dalam pada itu, Muna berkata, institusi Raja di Malaysia mempunyai kedudukan tersendiri yang berbeza dengan model monarki Barat kerana berakar daripada sejarah Kesultanan Melayu yang wujud sebelum pembentukan negara moden.

Katanya, Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan Majlis Raja-Raja membincangkan soal dasar negara dan perkara yang difikirkan sesuai.

"Ini menunjukkan institusi Raja dalam sistem Malaysia tidak pernah dimaksudkan sekadar menjadi ‘rubber stamp’.

"Dalam konteks Malaysia moden, institusi Raja semakin dilihat sebagai pengimbang yang membantu memastikan kuasa politik tidak bertindak tanpa batas,” jelasnya.

Beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan dan institusi istana penting bagi memastikan kestabilan negeri, keyakinan rakyat dan kelancaran pentadbiran terus terpelihara.

Menurutnya, dalam isu penternakan babi di Selangor, pandangan Sultan Sharafuddin dilihat lebih selaras dengan realiti semasa negeri yang berdepan tekanan pembangunan, kepadatan penduduk serta isu pencemaran semakin kompleks.

"Akhirnya, isu ini bukan sekadar soal babi atau politik negeri, tetapi ujian sebenar terhadap sejauh mana kita memahami identiti sistem negara sendiri.

"Dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, sultan bukan sekadar simbol upacara, sebaliknya teguran Sultan berperanan menjadi benteng terakhir ketika kerajaan gagal mendengar suara rakyat," tambah beliau.

Sinar Harian 20 April melaporkan, Sultan Selangor menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.