Isu ternak babi: Pemimpin DAP diingat tidak uji kesabaran rakyat Melayu, Islam

LocalPolitics
7 May 2026 • 10:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu ternak babi: Pemimpin DAP diingat tidak uji kesabaran rakyat Melayu, Islam
Akmal Saleh

SHAH ALAM - Pemimpin- pemimpin DAP yang masih berdegil berhubung isu aktiviti penternakan babi diingatkan agar tidak menguji kesabaran rakyat Melayu dan umat Islam dalam hal yang menyentuh titah Sultan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana kenyataan media kali kedua Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuktikan masih ada pihak yang gagal faham bahasa adab, undang-undang dan hormat kepada institusi Raja.

Menurutnya, titah baginda bukan cadangan politik sebaliknya pendirian jelas seorang raja pemerintah demi menjaga kepentingan negeri, rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.

"Politik ada batasnya, adab kepada raja jangan sesekali dilanggar.Cukuplah, hormati titah tuanku, hentikan polemik ini, jangan sampai rakyat melihat kamu bukan sahaja gagal memimpin, tetapi gagal beradab sebagai pemimpin dalam sebuah negeri beraja.

"Pemimpin yang baik mendengar titah dan memahami kebimbangan rakyat manakala pemimpin yang angkuh pula mencari jalan untuk melawan, walaupun sudah ditegur dengan begitu jelas.

"Malulah menjadi pemimpin rakyat kalau soal asas seperti hormat kepada Sultan pun masih mahu dipolitikkan. Ini bukan soal siapa menang debat, ini soal siapa tahu adat hidup bernegeri," ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.

Sebelum ini, Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

Menurut beliau, pendirian baginda dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan ternakan tersebut.

Tambah Muhamad Akmal, sangat jelas tuanku menyebut tentang alam sekitar, kos, sumber tanah terhad dan kepentingan ekonomi negeri.

Jelasnya, itu semua hujah rasional, bukan emosi.

" Oleh itu, jangan sempitkan isu ini kepada sentimen kaum atau agama semata-mata.

"Kalau sudah jelas tuanku tidak berkenan, berhentilah berdalih.

"Jangan kerana mahu menjaga kepentingan politik sempit, institusi raja pula mahu dicabar secara terbuka," ujarnya.