Isu baja Kedah: SPRM selesai siasat, dua individu bakal didakwa

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 5:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu baja Kedah: SPRM selesai siasat, dua individu bakal didakwa
Abd Halim (tengah) pada sidang akhbar pada Jumaat.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah dan bercadang mendakwa dua individu berkaitan kes berkenaan dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memperakukan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat.

"Kami telah menyelesaikan penyiasatan. Jika seandainya diberikan keizinan oleh Pendakwa Raya terhadap perakuan kami, maka mungkin minggu depan atau minggu lebih satu, pertuduhan akan didaftarkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini pada Jumaat.

Isu kelewatan pembekalan Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjadi tumpuan selepas gabungan pesawah Kedah membuat laporan polis pada 25 Ogos berhubung perkara tersebut.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) turut membuat aduan kepada SPRM Kedah sehari selepas itu lalu berhubung kelewatan pembekalan baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas kira-kira 100,000 hektar.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata, kedua- dua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu penyelewengan dan dokumen palsu.

Ditanya mengenai individu yang bakal didakwa, beliau bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

“Tak boleh didedahkan. Tunggulah,” jelasnya. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved