Isu berkaitan 3R tidak wajar dijadikan alat untuk raih undi

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu berkaitan 3R tidak wajar dijadikan alat untuk raih undi

SEREMBAN: Semua pemimpin dan jentera politik perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan dikeluarkan serta tidak menjadikan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sebagai alat untuk membangkitkan kemarahan atau ketakutan demi meraih undi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Barisan Nasional (BN) dibina atas kesepakatan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan latar belakang

Ia sekali gus membuktikan kestabilan negara lahir daripada keupayaan rakyat yang berbeza untuk duduk bersama, berunding dan membina masa hadapan.

Katanya, kerjasama antara UMNO, MCA, MIC serta parti-parti komponen BN menjadi asas jati diri gabungan itu dengan mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menafikan hak, maruah serta kedudukan sah mana-mana warganegara Malaysia.

“Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

“Retorik sedemikian memberi gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia.

“Hakikatnya, bagi jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India, Malaysia bukan tempat persinggahan. Malaysia ialah tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.

“Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah,” katanya.

Tegas beliau, rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang membincangkan perkara yang benar-benar mempengaruhi kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat dan masa hadapan anak-anak.

“BN tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk memperoleh sokongan, sebaliknya menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan dan sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara.

“BN ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara,” katanya. – UTUSAN

The post Isu berkaitan 3R tidak wajar dijadikan alat untuk raih undi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved