PRN Negeri Sembilan: Jangan kaitkan institusi diraja dalam kempen - Istana

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 2:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PRN Negeri Sembilan: Jangan kaitkan institusi diraja dalam kempen - Istana

SEREMBAN, 27 JULAI: Istana Negeri Sembilan menasihatkan parti-parti politik yang bertanding untuk tidak mengaitkan institusi diraja semasa berceramah dan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Beliau berkata institusi diraja ialah payung perpaduan rakyat dan berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana ahli kerabat diraja dengan parti politik adalah tidak benar.

“Semua calon parti politik bertanding dalam PRN Negeri Sembilan ini dinasihatkan tidak memainkan isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) serta berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan institusi diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberikan laluan kepada PRN diadakan.

Pengundian awal bagi PRN berkenaan akan berlangsung esok, manakala hari mengundi ialah pada 1 Ogos.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved