'Isu cabutan khas nombor ramalan tak pernah dibawa ke Kabinet' – Takiyuddin

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Isu cabutan khas nombor ramalan tak pernah dibawa ke Kabinet' – Takiyuddin
Takiyuddin (kanan) ketika sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK), Pengkalan Chepa pada Jumaat.

KOTA BHARU - Isu cabutan khas nombor ramalan yang dipertikaikan sebelum ini tidak pernah dibawa ke Kabinet ketika Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjadi Menteri Kewangan, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut beliau, perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan tidak dibentangkan melalui kertas Kabinet atau memorandum Jemaah Menteri.

"Seingat saya tidak dibawa ke Kabinet. Tidak ada kertas Kabinet, tiada memorandum Jemaah Menteri.

"Diputuskan memang bidang kuasa Kementerian Kewangan," katanya semasa sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu adalah tanggungjawab bersama jemaah menteri, termasuk menteri daripada Pas ketika itu.

Tengku Zafrul Aziz yang kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri berkata cabutan khas bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperkenalkan sejak 1999, malah had siling 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Takiyuddin memberitahu, menteri-menteri lain tidak mempunyai maklumat berhubung keputusan tersebut sekiranya perkara itu tidak dibawa ke peringkat Kabinet.

Tambahnya, teguran hanya dibuat selepas jumlah cabutan khas berkenaan diumumkan.

"Bila tak dibawa ke Kabinet, kami tiada maklumat. Bila dah keluar berapa-berapa kali, barulah kami buat teguran.

"Lagipun benda itu dah tutup pun. Itu bidang kuasa Kementerian Kewangan. Minta Tengku Zafrul confirm. Dia Menteri Kewangan, kami menteri lain," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut menjelaskan bahawa selepas Pas mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990, bidang kuasa kerajaan negeri adalah terhadap premis perjudian, manakala lesen perjudian berada di bawah Kementerian Kewangan.

"Pada tahun 1990, bila mana kita menang di Kelantan, bidang kuasa kita ialah premis. Tak bagi. Adapun lesen judi itu, itu Kementerian Kewangan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved