Isu CCC asrama KPM Beranang, Asyraf Wajdi beri tempoh hingga 15 Julai

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu CCC asrama KPM Beranang, Asyraf Wajdi beri tempoh hingga 15 Julai
Asyraf Wajdi ketika melakukan lawatan ke bangunan asrama baharu KPM Beranang. Foto FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Isu kelewatan operasi bangunan asrama baharu Kolej Profesional Mara (KPM) Beranang yang mencetuskan keluhan pelajar dan ibu bapa akhirnya menemui jalan penyelesaian selepas Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melakukan lawatan ke fasiliti berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Asyraf Wajdi meluahkan rasa hairan apabila dimaklumkan bahawa semua urusan penyerahan dokumen yang tertangguh sekian lama tiba-tiba diselesaikan pada pagi hari lawatannya.

"Ajaib! Bila tiba, dimaklumkan semua dah selesai. Takkan kena Pengerusi Mara turun baru selesai," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, projek pembangunan asrama baharu KPM Beranang yang berada di bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bermula pada 2021 dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 2023 berdasarkan kontrak asal yang dipersetujui dengan kontraktor.

Bagaimanapun, projek tersebut mengalami kelewatan daripada jadual asal sehingga menyaksikan permohonan lanjutan masa (EOT) dikemukakan sebanyak lapan kali, selain pihak kontraktor dikenakan denda melebihi RM200,000.

Walaupun bangunan itu akhirnya siap pada 30 Jun 2025, Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang diperlukan Mara untuk memulakan operasi masih gagal dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Kelewatan itu berpunca daripada dua dokumen yang masih belum dilengkapkan susulan beberapa isu berkaitan sistem pembetungan yang perlu diselesaikan oleh pihak kontraktor.

Keadaan itu menyebabkan ramai pelajar baharu terpaksa menyewa kediaman di luar kampus dengan kos yang tinggi, sekali gus mencetuskan pelbagai aduan daripada ibu bapa.

Mengulas mengenai lawatan itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau sebelum ini telah memaklumkan hasratnya untuk turun padang bagi melihat sendiri perkembangan kerja-kerja pembaikan kecacatan bangunan terbabit.

"Yang peliknya, apabila saya maklumkan bahawa saya nak turun melihat sendiri progres pembaikan apa jua kecacatan yang diperlukan untuk mendapatkan CCC ini, tiba-tiba tadi saya diberitahu semuanya sudah beres dan siap dihantar pagi tadi," katanya..

Sehubungan itu, beliau menetapkan tempoh sehingga 15 Julai depan untuk memastikan semua urusan dokumentasi diselesaikan dan diserahkan sepenuhnya bagi membolehkan asrama berkenaan mula beroperasi.

Beliau turut menegaskan akan turun padang sekali lagi pada tarikh tersebut untuk menyaksikan sendiri proses penyerahan itu demi memastikan keselesaan 946 pelajar baharu menjelang tarikh kemasukan rasmi mereka pada 30 Julai ini.