
Isu Ceramah Sahabat Nabi: DUPP Tegur Nik Zawawi
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegur Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang dilihat menyampaikan fakta tidak tepat hingga mencetuskan kontroversi dalam ceramah mengenai latar belakang sahabat Nabi Muhammad di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul.
Tambahnya, DUPP mengakui terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah khususnya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman sebelum Islam.
DUPP Tegur Nik Zawawi Susulan Isu Ceramah Sahabat Nabi
Ia selepas setelah pihaknya meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
"DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.
"Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
"DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada Datuk Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah.," maklum kenyataan itu.
Baca juga:Tambah beliau, paada masa yang sama, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.
"Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
"DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam," maklumnya lagi.
