Polis tunggu maklumat lanjut isu kenyataan Nik Zawawi - KPN

LocalPolitics
13 May 2026 • 5:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis tunggu maklumat lanjut isu kenyataan Nik Zawawi - KPN
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu maklumat lanjut berhubung kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh didakwa menghina sahabat nabi dalam program ceramah politik di Terengganu pada minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mengambil perhatian terhadap perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita. Sebarang maklumat (isu tersebut) kita masih lagi menunggu daripada pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian secara ringkas dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi yang mengeluarkan kenyataan menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Kenyataan itu dipercayai disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi pada Rabu tampil memohon maaf dan mengakui bahawa beliau kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika itu.