
KUALA LUMPUR: Isu gangguan seksual dalam industri seni perlu ditangani secara serius dan tidak wajar disembunyikan demi menjaga nama baik mana-mana pihak.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkata, beliau menyokong keberanian artis yang tampil berkongsi pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual ketika menjalani penggambaran drama atau filem.
Bagaimanapun, Hans, 55, menegaskan setiap dakwaan perlu berlandaskan fakta, selain menggesa individu yang terlibat membuat laporan polis atau mendapatkan khidmat nasihat peguam sebelum mendedahkan perkara berkenaan di media sosial.
“Bagus sekiranya artis itu mahu menyuarakan tentang isu (gangguan seksual) ini. Pertama sekali, kita tak sepatutnya menyembunyikan perkara yang tidak betul (kesalahan).
“Keduanya, kita kena lihat fakta-fakta. Jangan jadikan media sosial sebagai tempat untuk membuat aduan. Buatlah tindakan yang betul sama ada laporan polis atau dapatkan khidmat peguam.
“Kalau anda rasa tindakan ini tidak mencukupi dan ingin berkongsi di media sosial, kami faham. Masyarakat perlu tahu dan nilaikan tetapi isu ini sangat sensitif bakal mengundang pelbagai reaksi ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Meletop di Astro Bukit Jalil, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hans menjelaskan pandangan tersebut bukan semata-mata berdasarkan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Finas, sebaliknya turut bersandarkan pengalaman lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.
Menurutnya, penggiat seni perlu menjaga tingkah laku dan menunjukkan teladan baik kepada masyarakat memandangkan hasil karya mereka menjadi tontonan umum.
“Saya bercakap bukan sebagai Pengerusi Finas, tetapi individu yang sudah berada di dalam industri seni tanah air lebih daripada 30 tahun.
“Kita perlu jadi contoh kepada orang ramai kerana masyarakat mengikuti filem-filem kita.
“Jadi artis-artis perlu menjadi satu contoh kepada rakyat Malaysia, ini adalah pandangan peribadi saya,” ujarnya.
Mengulas usaha menangani isu berkenaan, Hans memaklumkan Finas kini dalam perbincangan bagi mewujudkan mekanisme perlindungan terhadap golongan artis dan seluruh tenaga kerja industri seni daripada menjadi mangsa gangguan seksual.
Katanya, usaha itu turut melibatkan cadangan peruntukan berkaitan gangguan seksual di bawah Akta Finas.
“Akan ada di bawah akta Finas untuk gangguan seksual ini. Buat masa ini saya tidak akan menyebelahi mana-mana pihak kerana adalah tidak adil disebabkan saya tidak mengetahui cerita sebenar.
“Kalau isu ini benar-benar berlaku perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan membuat laporan polis dan kemudian datang kepada Finas untuk kami ambil tindakan,” katanya.
The post Isu gangguan seksual, kumpul fakta dan segera buat laporan polis – Hans Isaac appeared first on Utusan Malaysia.






