
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Beberapa hari yang lalu, tular video memaparkan tindakan agresif petinju cilik sewaktu sesi face-off di sidang media Warzone World Championship (WWC).
Video tular yang juga gimik tersebut kemudiannya mengundang perhatian orang ramai termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah kemudian memaklumkan acara yang dilakukan itu tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pihaknya akan mengambil tindakan untuk membuat laporan polis sekiranya WWC masih berdegil untuk meneruskan acara tersebut tanpa sanksi (kebenaran).
Selain itu beliau turut menyifatkan video tular memaparkan aksi agresif kanak-kanak berkenaan sebagai kandungan yang bercanggah dengan dasar Sukan Selamat yang diterapkan oleh KBS. Hannah kemudiannya turut menzahirkan rasa terkilan selepas seorang peserta kanak-kanak tampil membuat permohonan maaf ekoran insiden itu.
“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil ini tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” kata Hannah.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Video Gimik Promosi Jadi Perdebatan, Warzone World Championship Tiada Kelulusan KBS
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Warzone World Championship Tiada Kelulusan, KBS Akan Buat Laporan Polis Jika Masih Berdegil
Yusud Azmi tampil mohon maaf isu gimik WWC
Terbaharu Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) , Yusuf Azmi telah tampil membuat permohonan maaf berhubung gimik keterlaluan yang dilakukan sewaktu mempromosikan WWC pada beberapa hari yang lalu.
Dalam video yang dikongsikan di Facebook, Yusuf mengakui kesilapan yang dilakukannya serta menerima segala teguran yang diberikan oleh Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pejuang dan komuniti dalam sukan muay thai.
“Saya di sini ingin memohon maaf di atas perkara yang berlaku ketika press conference. Perkara itu adalah gimik semata-mata dan tiada perkara (insiden) yang berlaku di atas pembawakan emosi. Jadi saya di sini ingin memohon maaf sekali lagi di atas keterlanjuran dalam kita mempromosikan acara.
“Kerana ini adalah kali pertama kita mengadakan acara secara besar dan kita mungkin tidak mempunyai pengalaman dan kita masih belajar dan saya menerima semua teguran-teguran daripada Menteri, Timbalan Menteri, KPM, Menteri Pendidikan dan termasuk fighter muay thai yang komuniti fighter muay thai serta persatuan negeri yang dalam negara kita,” katanya.
Mohon maaf kerana dilihat seperti menggunakan kanak-kanak untuk promosi acara
Jelas Yusuf, dia telah berusaha sebaik mungkin untuk menganjurkan acara dengan baik. Ini kerana dia juga seorang yang anti buli serta anti kekerasan yang mengeksploitasi kanak-kanak (dalam gimik itu).
“Saya minta maaf dilihat seperti menggunakan kanak-kanak untuk menaikkan atau mempromosikan event. Saya secara jujur dan jelasnya tidak pernah sesekali untuk melakukan demikian. Kerana itu adalah gimik semata-mata.
“Saya sedar bahawa selama ini, kanak-kanak ini contohnya anak saya pernah melalui satu proses face-off, weight-in dan sebagainya, saya tidak pernah melihat perkara itu boleh berlaku sampai sebegitu sedangkan saya sedaya upaya berbisik pada dia untuk bercakap tentang rekod sahaja.”
Terima teguran dan tunjuk ajar yang diberikan
Dia dalam masa turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Muay Thai, individu yang terlibat dalam sukan tersebut dan semua yang terlibat kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar.
Menurutnya, dia juga akan memastikan semua yang terlibat dalam acara itu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam sukan tempur agar perkara yang memberikan gambaran negatif kepada orang ramai ini tidak berlaku lagi.
“Saya akan pastikan kanak-kanak tidak akan melalui sebarang proses trash talk dan sebarang proses melibatkan mereka boleh atau sebarang promosi yang melibatkan kanak-kanak.”
Selain itu, Yusuf turut menegaskan akan mengikut segala prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara, KBS, Polis Diraja Malaysia dan semua yang berkaitan dengan undang-undang sukan.

