Semalam (8 Oktober) Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan semua institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 untuk ditutup bermula 9 Oktober.
Bagi IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari pula perlu ditutup bermula 12 Oktober.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Semua Sekolah Di Kawasan Catat IPU Lebih 180 Ditutup Mulai Esok, 9 Oktober
Sekolah di Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa namun aktiviti luar ditangguhkan
Terbaharu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memaklumkan seluruh sekolah di negeri berkenaan beroperasi seperti biasa namun aktiviti luar ditangguhkan ekoran jerebu yang melanda.
Jelas JPN, pihaknya mengambil serius dan memantau bacaan IPU secara berterusan di empat stesen pemantauan iaitu:
- Minden
- Seberang Jaya
- Seberang Prai
- Balik Pulau
Kata JPN lagi, setakat jam 9.55 malam (8 Oktober) menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 4.5 mata untuk bacaan IPU, daripada 129 kepada 124.5.
“JPN Pulau Pinang menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kepentingan memelihara keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melana beberapa kawasan di negara ini,” katanya.
Pihak institusi pendidikan ambil tindakan sewajarnya jika keadaan jerebu dan IPU melebihi tahap yang ditetapkan
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, JPN Pulau Pinang turut mengatakan jika keadaan jerebu serta IPU mencapai atau melebihi tahap yang ditetapkan dalam garis panduan yang sedang berkuat kuasa, pihak institusi pendidikan hendaklah mengambil tindakan sewajarnya termasuk:
- Mengubah suai
- Menangguhkan atau membatalkan aktiviti luar untuk memastikan keselamatan dan kesihatan murid dan warga pendidik sentiasa terpelihara
Ibu bapa dan penjaga perlu peka dengan keadaan anak dan dapatkan maklumat rasmi dari KPM, JPN Pulau Pinang dan pihak sekolah
“JPN Pulau Pinang turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, memantau tahap kesihatan anak-anak serta mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi KPM, JPN Pulau Pinang dan pihak sekolah.
“Kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa amat penting bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara sepanjang tempoh keadaan jerebu.
“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan JPN Pulau Pinang.”
Terdahulu, pada 7 Oktober lalu Kerajaan Negeri Johor mengumumkan semua sekolah di negeri tersebut ditutup selama dua hari bermula 8 Oktober hingga 9 Oktober ekoran keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di seluruh daerah.







