Jerebu: JPNPP arah aktiviti luar ditangguhkan

LocalEnvironment
9 Oct 2026 • 1:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu: JPNPP arah aktiviti luar ditangguhkan

GEORGE TOWN : Semua sekolah di Pulau Pinang ketika ini masih beroperasi seperti biasa berdasarkan kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, pelaksanaan semua aktiviti luar diarah agar ditangguhkan buat sementara waktu.

“JPNPP menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kepentingan memelihara keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu di negara ini.

“Selaras dengan kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 8 Oktober 2026, JPNPP mengambil serius berkaitan perkara ini dengan memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) di keempat-empat stesen pemantauan kualiti udara iaitu Minden, Seberang Jaya, Seberang Perai dan Balik Pulau sepanjang masa,” katanya.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiga daripada empat stesen tersebut iaitu di Minden, Seberang Jaya dan Seberang Perai merekodkan bacaan IPU antara 125 hingga 153 iaitu pada kategori tidak sihat manakala stesen Balik Pulau pula kekal pada tahap sederhana iaitu pada bacaan 87.

Dalam pada itu, JPNPP turut memaklumkan bahawa pihak institusi pendidikan perlu mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan jerebu dan bacaan IPU mencapai atau melebihi tahap yang ditetapkan dalam garis panduan berkuat kuasa.

Katanya, antara tindakan yang boleh diambil termasuk mengubah suai, menangguh atau membatalkan aktiviti luar bagi mengelakkan murid serta warga pendidikan terdedah kepada keadaan udara yang tidak sihat.

“Dalam hal ini, keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan kekal menjadi keutamaan kami,” tegas JPNPP.-UTUSAN

The post Jerebu: JPNPP arah aktiviti luar ditangguhkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved