
GEORGE TOWN – Semua sekolah di Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Menurut kenyataan itu, JPNPP menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kepentingan memelihara keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu di negara ini.
“JPNPP memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen utama iaitu Minden, Seberang Jaya, Seberang Perai dan Balik Pulau secara berterusan.
“Sehingga pukul 9.55 malam, 8 Oktober, purata IPU menurun sebanyak 4.5 mata daripada 129 kepada 124.5,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JPNPP turut memaklumkan bahawa pihak institusi pendidikan perlu mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan jerebu dan bacaan IPU mencapai atau melebihi tahap yang ditetapkan dalam garis panduan berkuat kuasa.
“Antara tindakan yang boleh diambil termasuk mengubah suai, menangguhkan atau membatalkan aktiviti luar bagi mengelakkan murid serta warga pendidikan terdedah kepada keadaan udara yang tidak sihat.
” JPNPP menyeru ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memantau tahap kesihatan anak-anak sepanjang tempoh jerebu.
“Ibu bapa juga disaran mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), JPNPP dan pihak sekolah bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara,” ujarnya.
Justeru, JPNPP menegaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan jabatan itu.
Setakat pukul 9 pagi tadi, stesen pematauan di Minden mencatatkan bacaan IPU 153, Seberang Jaya (151), Seberang Perai (120) dan Balik Pulau (87). -KOSMO! ONLINE
The post Sekolah di Pulau Pinang beroperasi seperti biasa, aktiviti luar ditangguh – JPNPP appeared first on Kosmo Online.






