Isu Kemaskini CrowdStrike Dilaporkan Tidak Terhad Kepada Sistem Operasi Microsoft Windows Sahaja

TechnologyDigital
23 Jul 2024 • 11:33 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada penghujung minggu lepas, kemaskini yang dikeluarkan oleh syarikat keselamatan digital CrowdStrike telah menyebabkan sejumlah besar syarikat-syarikat korporat, termasuklah dalam sektor penerbangan, pengangkutan awam, perbankan, kesihatan, dan malah kerajaan menghadapi isu serius dimana perkhidmatan yang terkait dengan sistem operasi Microsoft Windows tidak boleh digunakan.

CrowdStrike dan Microsoft bekerjasama untuk memperkenalkan kemaskini yang membantu memulihkan sistem-sistem ini, tetapi isu berkenaan kemaskini perisian CrowdStrike nampaknya belum lagi berakhir. Perisian yang menyebabkan isu ini, iaitu Falcon Sensor juga boleh digunakan pada komputer dan mesin pelayan yang melarikan sistem operasi Linux.

Malah, untuk mereka yang menggunakan sistem operasi tersebut, mereka telah melaporkan isu berkenaan kemaskini yang menyebabkan isu “kernel panic“, yang mana komputer akan memperlihatkan amaran selepas kemaskini baru rosak dipasang yang boleh menyebabkan kehilangan data ataupun kerosakan pada komputer yang serius sejak bulan April tahun ini lagi.

Pengguna sistem operasi Linux seperti Red Hat Enterprise, Debian dan sebagainya telahpun membuat laporan mengenai kestabilan perisian tersebut sebelum ini, tetapi rata-ratanya tidak diendahkan sehingga kini.

Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa isu yang membelenggu pengguna Falcon Sensor pada sistem operasi Microsoft Windows adalah yang sama yang hadir pada sistem operasi Linux, tetapi ia mungkin memperlihatkan bahawa CrowdStrike mungkin mengendahkan betapa seriusnya sesuatu situasi apabila sebuah perisian yang dipercayai oleh beribu-ribu syarikat korporat dan pengguna menyebabkan isu IT terbesar di dunia seperti yang diperlihatkan pada minggu lepas.