Isu Kewarganegaraan 7 Pemain Harimau Malaya, Saifuddin Jelaskan Semua Ikut Prosedur Perlembagaan

Entertainment
9 Oct 2025 • 12:53 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian kepada tujuh pemain Harimau Malaya dibuat mengikut semua prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain itu mematuhi semua peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

Malah, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut digunakan bagi memproses permohonan sijil kelahiran kepada tujuh pemain terbabit.

“Tujuh pemain ini mematuhi tiga rukun ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan membabitkan tempoh bermastautin, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.

“Saya juga menggunakan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan yang memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin walaupun baru sehari berada di negara ini,” katanya.

image is not available

Kewarganegaraan 7 pemain & pertikaian dibangkit FIFA, 2 isu berbeza

Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu taraf kewarganegaraan tujuh pemain terbabit dan pertikaian dibangkitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.

Jelasnya, isu yang timbul membabitkan penggantungan pemain warisan terbabit adalah berkaitan statut FIFA yang kini sedang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Statut FIFA ini hanya terpakai sebagai elemen pematuhan kepada persatuan bola sepak untuk mendaftar pemain masing-masing. Ia perlu dipenuhi.

“Statut ini ada empat kriteria, iaitu pemain terbabit lahir di wilayah persatuan berkenaan; ibu atau bapa dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan; nenek atau datuk dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan atau sudah menetap sekurang-kurangnya lima tahun di wilayah persatuan berkenaan selepas berusia 18 tahun.

“Kriteria statut FIFA ini bukanlah sandaran digunakan sebagai kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, heboh diperkatakan apabila FIFA mendakwa beberapa dokumen sokongan yang diserahkan FAM, termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain, memaparkan maklumat yang tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.