

Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan teknikal berhubung insiden beberapa penunggang motosikal terbabas di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Klang, semalam.
Faktor Teknikal dan Penilaian Permukaan Jalan
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan maklumat awal, bahagian permukaan berwarna di laluan motosikal tersebut sememangnya direka dan dilaksanakan sebagai kemasan anti-gelincir mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.
"Namun begitu, ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan dilaporkan sedikit basah. Kita juga dimaklumkan bahawa beberapa penunggang motosikal telah terbabas di lokasi yang sama.
"Saya telah mengarahkan JKR menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh. Kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal mengenai punca kejadian," katanya di facebook.
Antara perkara yang sedang diteliti termasuk tahap rintangan gelincir permukaan ketika basah, keadaan turapan, kemungkinan terdapat pencemaran permukaan seperti minyak atau diesel, kualiti pelaksanaan kerja serta faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kejadian tersebut.
Tindakan Sudah DiambilJKR telah pun mengambil tindakan awal di lokasi kejadian.
Kerosakan turapan telah ditampal sementara dan papan tanda “KURANGKAN LAJU” telah dipasang sebagai langkah segera.
Ujian skid dalam keadaan kering dan basah turut dijalankan bagi mengesahkan prestasi sebenar permukaan tersebut.
Susulan itu,kerja penambahbaikan termasuk mill and pave serta pemasangan papan tanda halaju panduan 40 km/j akan dilaksanakan.
"Apa yang penting, kita akan mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan pada bahan, pelaksanaan kerja, reka bentuk atau aspek penyelenggaraan, kita akan ambil tindakan pembetulan yang sewajarnya," tambahnya.



![[VIDEO] JKR siasat kemalangan di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-24-at-12.25.10-PM-1-1024x766.jpeg)

