Penunggang motosikal langgar murid di lintasan pejalan kaki dikecam

24 Sep 2026 • 1:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penunggang motosikal langgar murid di lintasan pejalan kaki dikecam

PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang motosikal yang melanggar seorang murid ketika menggunakan lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah mengundang kecaman orang ramai.

Kejadian itu tular menerusi perkongsian pengguna Threads, @Shahrimtamrin yang memuat naik rakaman dipercayai berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Menerusi rakaman tersebut, beberapa murid dilihat sedang melintas jalan menggunakan lintasan pejalan kaki sebelum sebuah motosikal melalui kawasan berkenaan dan dipercayai melanggar salah seorang daripada mereka.

“Bilakah agaknya rakyat Malaysia mahu berubah? Bilakah agaknya golongan penunggang motosikal mahu menghormati hak kanak-kanak untuk berada dalam keadaan selamat?” katanya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam sikap pengguna jalan raya yang tidak memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan sekolah, terutama apabila terdapat murid sedang melintas.

Pengguna @Ronixknives_handmade turut meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap penunggang terbabit.

“Ini bukan soal tiada lesen, tetapi tindakan yang tidak menggunakan pertimbangan sewajarnya. Ketika waktu persekolahan dan berada di hadapan sekolah, mengapa perlu menunggang selaju itu? Mohon JPJ mengambil tindakan termasuk menarik lesen,” katanya.

Sementara itu, @Sebuahpokok menegaskan pengguna jalan raya perlu memberikan keutamaan kepada pejalan kaki yang menggunakan lintasan disediakan.

“Lintasan pejalan kaki itu memberikan keutamaan kepada pejalan kaki dan kenderaan lain perlu berhenti. Petak kuning pula bukan tempat untuk kenderaan berhenti. Di hadapan sekolah pun masih ada yang memandu laju. Tindakan seperti ini benar-benar tidak wajar,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Na_hj_ismail berkata, semua pengguna jalan raya tanpa mengira jenis kenderaan perlu memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan sekolah.

“Di hadapan sekolah, tidak kira motosikal atau kereta, jangan memandu laju. Jika dilihat dalam video kedua, bukan motosikal sahaja, malah kereta juga dipandu laju,” katanya.

Dalam pada itu, @Elynnnnnse berkata, kelewatan untuk ke tempat kerja tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memandu secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan orang lain. – KOSMO! ONLINE

The post Penunggang motosikal langgar murid di lintasan pejalan kaki dikecam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved