
PUCHONG: Keputusan Wong Chen menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) didorong beberapa perkara, termasuk penamatan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) pada Mei lalu dan disekat daripada mempunyai akses kepada sistem MyKhas.
Bekas Ahli Parlimen Subang itu berkata, penamatan jawatannya sebagai pengerusi MDV pada Mei lalu dibuat tanpa penjelasan, malah disifatkan sebagai penghinaan peribadi selepas lebih 22 tahun berkhidmat sebagai peguam korporat.
Katanya, penyingkirannya daripada MDV pada Mei lalu berlaku meskipun beliau mendakwa berjaya membawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan itu kembali mencatat keuntungan sepanjang tempoh tiga tahun kepemimpinannya.
“Mereka memecat saya dalam tempoh lima hari. Saya menganggapnya sebagai penghinaan peribadi kerana tiada penjelasan diberikan.
“Bagaimanapun, dua atau tiga minggu kemudian, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, menghantar surat yang sangat baik untuk mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan saya. Namun, surat itu ditandakan sebagai sulit dan saya tidak boleh menunjukkannya kepada anda,” katanya pada sidang akhbar perletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen di Ibu pejabat Bersama, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini beliau juga belum menerima sebarang panggilan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara berkenaan.
“Bagi saya, ia adalah keputusan muktamad Perdana Menteri. MDV dimiliki Kementerian Kewangan dan sebagai peguam korporat selama 22 tahun, saya menganggap perkara itu sangat peribadi,” katanya.
Penyingkiran Wong daripada MDV berlaku ketika hubungannya dengan pentadbiran Anwar dilihat semakin tegang, termasuk selepas beliau menghadiri pelancaran Bersama yang diterajui Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu.
Bagaimanapun Wong berjanji bahawa beliau akan terus bekerja di Subang walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu pada Isnin lalu.
Katanya, tumpuannya selepas ini adalah untuk terus berkhidmat kepada penduduk Subang serta memastikan kebajikan mereka tidak terjejas selepas pengundurannya.
Menurutnya, beliau juga merancang membuka pejabat khidmat masyarakat di Subang dalam masa terdekat bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan serta menyampaikan aduan berkaitan.
“Langkah itu penting kerana tanggungjawab kepada penduduk tidak sepatutnya terhenti hanya kerana saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.
‘Saya akan terus memperjuangkan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan walaupun kedudukan saya sebagai wakil rakyat telah berakhir secara rasmi minggu ini.
“Keputusan untuk kekal bekerja di Subang juga menunjukkan komitmen saya terhadap masyarakat yang telah memberikan sokongan kepadanya sejak 2013,” katanya. –UTUSAN
The post Isu MDV, dana kawasan dorong Wong Chen sertai Bersama appeared first on Utusan Malaysia.





