
KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menyertai Bersama, dan parti itu turut memperkenalkan tujuh jurucakap pertamanya bagi memperluaskan barisan kepimpinan sebagai persediaan menghadapi fasa seterusnya.
Bersama berkata Wong telah mengemukakan permohonan keahlian secara dalam talian dan permohonan itu akan diproses mengikut prosedur keahlian parti.
Wong, yang menjadi Ahli Parlimen Subang sejak 2013, akan bertanggungjawab menyelia penyediaan kertas dasar parti yang bakal diterbitkan menerusi siri “Kertas Kancil”.
Siri berkenaan dijangka dilancarkan menjelang Hari Kebangsaan 2026 dan akan memberi tumpuan kepada 12 agenda utama Bersama.
Setiap kertas akan menggariskan cadangan dasar, perundangan serta program yang ingin diketengahkan parti.
Menurut Bersama, kertas dasar itu akan dibuka untuk perbincangan awam, manakala butiran mengenai sesi konsultasi dan forum berkaitan akan diumumkan kemudian.
Parti itu berkata, pelantikan berkenaan menandakan fasa baharu dalam perkembangannya selepas dilancarkan semula hampir tiga bulan lalu, dengan usaha kini ditumpukan kepada pembentukan struktur kepimpinan yang lebih luas.
Tujuh individu yang dilantik sebagai jurucakap ialah pakar ekonomi Sum Dek Joe, bekas personaliti media Ibrahim Sani, akauntan Wan Zulaika Abdul Kahar, jurutera Jhen Pei Seah, Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Anbarasan Murugesu, personaliti media Tang Hong Yau dan peguam Rabiatul Adawiyah Sulaiman.
Sum, yang pernah berkhidmat dengan ASEAN+3 Macroeconomic Research Office serta Asian Development Bank, akan membantu menyediakan kertas-kertas Kertas Kancil.
Ibrahim pula memulakan kerjayanya dalam bidang perbankan korporat sebelum beralih ke bidang media menerusi Astro Awani dan BFM.
Beliau sebelum ini turut pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Peneraju.
Wan Zulaika pula memiliki pengalaman bekerja dengan beberapa organisasi utama termasuk KPMG, Petronas dan Sime Darby, manakala Jhen pernah terlibat dalam projek infrastruktur berskala besar termasuk KVMRT Laluan 2 dan Lebuhraya Pantai Barat.
Anbarasan pula pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya dari 2015 hingga 2026 dan memegang jawatan ketua whip dari 2020 hingga 2026.
Tang, yang merupakan graduan undang-undang Universiti Malaya, pernah bekerja sebagai wartawan multimedia di 8TV dan BFM sebelum menceburi bidang media berbahasa Mandarin serta sektor pendidikan.
Sementara itu, Rabiatul, graduan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan rakan kongsi di sebuah firma guaman, aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan membabitkan golongan belia dan wanita.
Bersama berkata parti itu akan terus mengumumkan pelantikan baharu melibatkan jurucakap, calon berpotensi serta penggerak parti dalam persediaannya untuk melakukan pindaan terhadap perlembagaan parti dan mengadakan pemilihan parti pada masa akan datang. - Getaran, 12 Ogos 2026





