Isu parkir dimonopoli pekerja Singapura, Johor warta lebih 500 petak parkir

LocalPolitics
6 May 2026 • 5:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu parkir dimonopoli pekerja Singapura, Johor warta lebih 500 petak parkir
Mohd Jafni pada sidang media selepas sidang DUN Johor.

ISKANDAR PUTERI – Isu kenderaan milik warga tempatan yang bekerja di Singapura memonopoli kawasan parkir awam tanpa bayaran dijangka ditangani menerusi pewartaan lebih 500 petak parkir di Johor Bahru.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan, masalah tersebut timbul apabila terdapat pengguna meletakkan kenderaan sehingga 14 hingga 16 jam sehari di kawasan tidak berbayar, sekali gus menjejaskan akses parkir kepada orang awam.

"Kerajaan negeri sedang berusaha mewartakan beberapa kawasan parkir membabitkan empat PBT iaitu di Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai dan Iskandar Puteri yang berdepan isu ini.

"Sekiranya mereka parkir lebih daripada dua atau tiga jam, mungkin ada kaedah pembayaran lain," katanya dalam sidang media selepas sidang DUN Johor di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Mohd Jafni berkata, perkara itu dijangka dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini kerana usaha tersebut memerlukan kelulusan peringkat negeri sebelum boleh dilaksana di peringkat pihak berkuasa tempatan.

"Pada masa sama, kita juga akan selaraskan beberapa kawasan parkir tertentu yang sesuai untuk rakyat tempatan yang bekerja di Singapura meletakkan kenderaan mereka sebelum menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja masing-masing.

"Perkara ini memerlukan kerjasama beberapa pihak selain PBT dan juga penyedia khidmat pengangkutan awam di negeri ini," katanya.