ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menegaskan komitmennya menghapuskan tanggapan “rumah mampu tengok sahaja” dalam kalangan rakyat negeri ini melalui pelaksanaan dasar perumahan yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, isu perumahan tidak dilihat sebagai isu tunggal, sebaliknya merangkumi keseluruhan perjalanan kehidupan rakyat.
"Daripada bantuan sewaan, rumah transit, pemilikan, sehingga pembiayaan semuanya disusun supaya rakyat bukan sekadar melihat peluang, tetapi benar-benar mampu mencapainya.
"Saya ingin tegaskan di dewan yang mulia ini bahawa usaha ini akan terus diperkukuhkan supaya ungkapan “rumah mampu tengok sahaja” tidak lagi menjadi realiti rakyat Johor, tetapi digantikan dengan satu hakikat yang lebih bermakna bahawa rakyat Johor benar-benar mampu memiliki rumah sendiri," katanya.
Mohd Jafni (BN- Bukit Permai) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Nor Rashidah Ramli (BN- Parit Raja) mengenai projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini pada Selasa.
Menurut Mohd Jafni, bagi tempoh 2025 hingga 2026, pelbagai bantuan telah diperkasa termasuk Bantuan Beli Rumah sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah RM2,000 serta Bantuan Sewa Rumah RM2,500 atau bersamaan RM250 sebulan selama 10 bulan.
"Kerajaan negeri turut menetapkan komposisi pembangunan perumahan sebanyak 60 peratus unit pasaran bebas dan 40 peratus Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
"Harga RMMJ pula ditawarkan secara berperingkat antara RM42,000 hingga RM300,000, dengan syarat pendapatan isi rumah yang ditetapkan mengikut kategori, bermula bawah RM4,000 hingga bawah RM10,000 mengikut jenis rumah," ujarnya.
Mohd Jafni menambah dalam aspek pembiayaan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terus menjadi antara pemacu utama akses pemilikan rumah, khususnya kepada golongan B40 dan M40 yang mempunyai kekangan pendapatan tidak tetap atau dokumentasi kewangan.
"Johor mencatat prestasi tertinggi di peringkat nasional dengan 8,963 permohonan melibatkan jumlah pembiayaan RM1.165 bilion, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim tersebut," ujarnya.





