KLUANG – Malaysia dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Norway di Singapura pada hujung bulan ini bagi membincangkan isu pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertemuan empat mata itu penting bagi menyampaikan pendirian Malaysia terhadap isu berkenaan yang amat mengecewakan negara.
Menurut beliau, peluru berpandu tersebut sepatutnya digunakan untuk melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM serta dua kapal perang negara iaitu KD Lekir dan KD Jebat.
“Sangat malang apabila kita menandatangani perjanjian untuk membeli peluru berpandu daripada Norway pada tahun 2018 dan sepatutnya Mac ini kita sudah menerimanya bagi melengkapkan kapal-kapal kita, tetapi beberapa hari sebelum tarikh penghantaran, penghantaran itu dibatalkan.
“Sekarang kita menggunakan saluran diplomatik. Perdana Menteri kita akan berhubung dengan Perdana Menteri mereka, Menteri Luar kita dengan Menteri Luar mereka dan saya akan berjumpa dengan Menteri Pertahanan mereka di Singapura hujung bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Program Ekonomi Madani di Kem Batu Tiga di sini pada Selasa.
Tambahnya, Malaysia berharap pertemuan bersama Menteri Pertahanan Norway nanti dapat memberi penjelasan lebih jelas berhubung keputusan berkenaan serta mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan pertahanan negara.
Sementara itu, mengulas tentang lawatan kerja beliau ke Rusia baru-baru ini, beliau berkata, Malaysia hanya akan menilai pemerolehan baharu pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) menjelang tahun 2030.
Katanya, perkara itu berikutan pesawat pejuang F/A-18 dan Sukhoi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka terus beroperasi sehingga sekitar tahun 2035.
“Kementerian ketika ini sedang mengkaji teknologi ketenteraan terkini serta menilai aset yang sesuai berdasarkan doktrin pertahanan dan keperluan operasi negara.
“Pameran di Rusia memberi peluang kepada kita menilai dan membandingkan teknologi, namun kita tidak terburu-buru membuat sebarang keputusan,” katanya.






