Sebarang penjelasan dan persoalan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu dirujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, sebaliknya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah kementeriannya hanya bertindak sebagai sekretariat.
“Saya sebenarnya dapat maklumat pun daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh BHEUU. Saya bukan menteri bertanggungjawab.
“Walaupun BHEUU di bawah saya, isu Lembaga Pengampunan tiap-tiap negeri, BHEUU adalah sekretariat, tetapi menteri dan menteri besar negeri berkenaan adalah wakil eksekutif dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kayuhan Fashionista: Bulan Kebangsaan Dua Sambutan Satu Jiwa, di sini, hari ini.
Penjelasan itu menyusul selepas PAS semalam meminta kerajaan memberikan penjelasan berhubung penangguhan permohonan pengampunan Najib.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara berkenaan membabitkan kepentingan awam dan wajar diberikan penjelasan segera.
Sumber: Harian Metro (Mohd Iskandar Ibrahim)






