Isu pengampunan Najib: Tanya PM Anwar bukan istana! Onn Hafiz persoal tindakan Tony Pua

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 3:43 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta semua pihak merujuk kepada kerajaan sekiranya mempunyai persoalan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya menjadikan Istana sebagai sasaran pertikaian politik.

Sepatutnya dapat penjelasan daripada PM

Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, beliau menyatakan, pimpinan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Majlis Peguam sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sendiri pernah menyatakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 bahawa dirinya membawa perkara pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda.

“Pemimpin utama mereka sendiri yang bawa ke Lembaga Pengampunan.
“Inilah perangai sebenar mereka dan ini bukan kali pertama Tony Pua dan konco-konco DAP-nya mencetuskan hasutan serta kontroversi membabitkan institusi diraja.
“Sebelum ini pun beliau pernah disiasat polis susulan kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor. Kini, sekali lagi Istana mahu diheret ke dalam pertikaian politik,” katanya.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menerusi hantaran Facebook pada Selasa mempersoalkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib susulan sabitan kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mencadangkan persoalan mengenai keputusan pengampunan itu diajukan kepada pihak Istana.

Image from: Isu pengampunan Najib: Tanya PM Anwar bukan istana! Onn Hafiz persoal tindakan Tony Pua

Foto: FB Tony Pua

Dalam pada itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan supaya semua banduan diberi peluang menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman diteruskan menerusi tahanan rumah.

Majlis Peguam pula mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib melalui tindakan undang-undang atas alasan ia tidak berperlembagaan.

Image from: Isu pengampunan Najib: Tanya PM Anwar bukan istana! Onn Hafiz persoal tindakan Tony Pua

Foto: FB Mohamad Sabu

Kebiadapan terhadap institusi Raja tak boleh dinormalisasi

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor menegaskan bahawa kebiadaban dan penderhakaan terhadap institusi Raja tidak boleh dinormalisasikan.

Beliau menjelaskan setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, manakala kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, keputusan berkenaan dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan yang turut membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara.

Image from: Isu pengampunan Najib: Tanya PM Anwar bukan istana! Onn Hafiz persoal tindakan Tony Pua

Beliau juga menambah,  Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas dan perlu dihormati.

“Baginda turut menegaskan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan adalah sama seperti mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Jadi, mengapa Tony Pua masih mahu rakyat mengajukan persoalan kepada Istana? Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab.
“Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik,” katanya.

Susulan daripada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga melupakan prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Sumber: Facebook Onn Hafiz

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved