Perjanjian mega RM1.11 bilion: Bekas menteri, KSU antara 12 individu dipanggil SPRM

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam pada sidang media Rabu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas menteri telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.11 bilion.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi sidang akhbar pada Rabu.

Ujarnya, bekas menteri itu antara 12 individu termasuk Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian yang dipanggil untuk dirakamkan percakapan.

"Saya tidak mahu sebut (nama bekas menteri). Ada daripada bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Menurut Azam, pihaknya telah memperoleh beberapa dokumen penting daripada agensi dan kementerian yang terlibat. 

“Kita juga melihat kepada pembentangan Kertas Kabinet (dalam kes itu) dan saksi-saksi yang lain sedang kita panggil,” jelas beliau.

Ketika ditanya pemberita adakah bekas menteri berkenaan merupakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang dikatakan dikaitkan dengan skandal tersebut, Azam bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

Pada 12 Februari, SPRM mengesahkan menerima  laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian. 

Sumber berkata, terdapat keraguan mengenai proses rundingan dan kelulusan yang didakwa tidak melibatkan sepenuhnya kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan MITI selain beberapa isu lain termasuk konflik berkepentingan.

Mengulas mengenai pengesanan bekas pembantu Rafizi, James Chai, Azam berkata, lelaki berkenaan kini dikategorikan sebagai individu dikehendaki dalam siasatan kes berkenaan. 

"Kita telah keluarkan maklumat kepada media untuk beliau segerakan balik ke Malaysia untuk dirakam percakapan. Setakat ini, belum ada maklum balas daripada beliau,” katanya menambah individu itu kini dipercayai berada di United Kingdom.

Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang portfolio Menteri Ekonomi.