Isu Polis Indonesia Peras Ugut Penonton Malaysia Di DWP: Pengarah Narkotik Dipecat

2 Jan 2025 • 1:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sekitar bulan Disember lalu, tular di media sosial dakwaan para pengunjung Malaysia yang hadir ke festival muzik EDM, Djakarta Warehouse Project (DWP) 2024 di Jakarta, Indonesia telah berdepan tindakan mengejutkan oleh pihak polis di sana.

Ramai pengguna media sosial yang mendakwa mereka telah diperas ugut oleh anggota polis ketika ditahan di festival berkenaan tanpa alasan yang kukuh.

Susulan kekecohan itu, penganjur DWP 2024, Ismaya Live meluahkan rasa kesalnya dan menyatakan bahawa isu pemerasan oleh anggota polis Indonesia itu akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Narkotik Polis Daerah Metro Jaya Jakarta dipecat

Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Narkotik Polis Daerah Metro Jaya Jakarta, Donald Parlaungan Simanjuntak dipecat secara ‘tidak hormat’ daripada institusi kepolisian berhubung kes pemerasan tersebut.

Menurut Awani yang memetik media tempatan, Ketua Pesuruhjaya Polis, M Choirul Anam berkata keputusan pemecatan itu adalah berdasarkan penemuan pelanggaran kod etika dan profesion Polis Republik Indonesia (Polri).

“Keputusan sidang menetapkan tindakan ‘pemberhentian tidak dengan hormat’ untuk direktur (ketua pengarah) bahagian narkotik dan ketua unitnya juga,” katanya.

Nasib anggota polis yang lain akan diketahui hari ini

Dalam pada itu, M Choirul berkata, nasib anggota polis lain yang didapati terlibat dalam kes tersebut akan diputuskan hari ini (2 Januari).

Menurutnya, kedua-dua pegawai tinggi yang dikenakan tindakan pecat itu telahpun mengajukan rayuan pertimbangan.

Kes pemerasan terhadap rakyat Malaysia di DWP melibatkan sejumlah 18 anggota polis yang terdiri daripada mereka yang bertugas di pejabat polis bahagian, polis bandar mahupun polis daerah.

Sehingga kini, kesemua mereka telah ditahan sementara menunggu siasatan lanjut.

Source: