

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan aktiviti rakyat tempatan menyewakan sewa motosikal warga asing pada kadar RM50 hingga RM200 sebulan semakin berleluasa di Kelantan dan Terengganu, sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan jalan raya akibat muatan berlebihan.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, kadar sewaan yang dikenakan adalah antara RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada jenis dan keadaan kenderaan.
Selain motosikal biasa, pihak JPJ turut mengesan peningkatan ketara penggunaan motosikal roda tiga oleh warga asing di Pantai Timur.
Kenderaan ini kebiasaannya dikendalikan oleh komuniti Rohingya untuk mengutip barangan kitar semula. Namun, ia sering dikesan membawa muatan berlebihan yang menghalang penglihatan pengguna jalan raya lain dan meningkatkan risiko kemalangan.
Siasatan mendapati ada segelintir pemilik tempatan bertindak tamak dengan menyewakan lebih 100 motosikal kepada warga asing dengan setiap motosikal dilaporkan menjana kira-kira RM100 sebulan.
Bermula Julai lalu, JPJ mengambil pendekatan lebih tegas dengan tidak lagi menawarkan kompaun. Sebaliknya, pemandu warga asing dan pemilik tempatan yang bersubahat akan terus dibawa ke mahkamah di bawah Seksyen 26(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






