
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui setiap individu tidak kiralah warga tempatan mahupun asing perlu mempunyai dokumen yang sah sekiranya ingin membawa kenderaan di Malaysia.
Malah rakyat Malaysia juga tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan kenderaan milik mereka untuk diguna atau disewakan kepada individu warga asing sekiranya mereka tidak mempunyai dokumen sah seperti lesen.
JPJ dedah ada rakyat Malaysia yang sewakan motosikal kepada warga asing sebanyak RM50-200 sebulan
Terbaharu Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan terdapat rakyat di Kelantan dan Terengganu yang juga rakyat Malaysia dikenal pasti menjalankan aktiviti menyewa motosikal mereka kepada warga asing dengan jumlah sewaan RM50 sehingga RM200 sebulan dan ia semakin berleluasa.
Menurut beliau selain daripada motosikal biasa yang disewakan, JPJ turut mengesan peningkatan trend penyewaan motosikal roda tiga kepada warga asing terutama di bahagian Pantai Timur.
Ada yang beri sewa motor roda tiga, warga asing guna untuk bawa muatan berat dan bahayakan pengguna jalan raya
Ujar beliau, perkara itu membimbangkan ekoran ada motosikal tersebut yang turut digunakan bagi membawa muatan berlebihan sehingga berisiko atau berpotensi untuk membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kita mengenal pasti trend baharu membabitkan rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, bergantung jenis dan keadaan motosikal.
“Sebahagian motosikal ini digunakan untuk membawa muatan sehingga menghalang penglihatan kendeeraan lain dan boleh menyebabkan kemalangan.
“Motosikal roda tiga paling banyak dikesan di Pantai Timur dan biasanya digunakan untuk mengutip bahan terbuang atau bahan yang boleh dikitar semula, dengan kebanyakannya dikendalikan komuniti Rohingya,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Jelas beliau, sekiranya berlaku kesalahan, JPJ boleh mengambil tindakan kepada:
- Pengguna kenderaan warga asing
- Pemilik kenderaan warga tempatan
Tindakan terbabit perlu dilakukan untuk:
- Mengelak kesalahan sama berulang
- Pastikan pemilik kenderaan tidak dengan mudahnya memberi sewa kenderaan tanpa ambil kira kegunaannya
Ada pemilik kenderaan yang sewakan lebih 100 daripada motosikal kepada warga asing, jana duit RM100 untuk setiap motor yang disewakan
Beliau turut memaklumkan, JPJ juga mengesan seorang pemilik yang menyewakan lebih daripada 100 motosikal kepada warga asing dan dilaporkan menjana sekitar RM100 sebulan untuk setiap motosikal.
Beliau turut menyifatkan pemilik warga Malaysia yang melakukan perkara itu turut dianggap bersubahat dengan pemandu warga asing selain boleh dikenakan tindakan.
Individu bersubahat boleh dikenakan tindakan Seksyen 26(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987
“Kita menganggap pemilik seperti ini sebagai pihak yang bersubahat dengan pemandu warga asing dan tindkan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 26(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”
Beliau turut memaklumkan JPJ sejak Julai yang lalu telah mengambil pendekatan yang lebih tegas termasuklah membawa pemandu warga asing serta pemilik kenderaan ke mahkamah, berbanding daripada menawarkan kompaun untuk kesalahan yang dilakukan itu.


![Tular Warga Asing Didakwa Borong Minyak Paket Bersubsidi, Ramai Gesa KPDN Jalankan Siasatan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/warga-asing-seludup-minyak-672x1024.jpg?t=1791262105)


