
PETALING JAYA – Sekumpulan penjaja haram warga asing terkedu di Pudu, Kuala Lumpur apabila kawasan operasi mereka akhirnya diserbu dan dirobohkan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam tadi.
Tindakan itu dilakukan selepas tindakan haram mereka di kawasan tersebut mendapat perhatian netizen dan menjadi tular ekoran pendedahan pempengaruh, Surplus Team.
Difahamkan, kumpulan tersebut telah turun ke lokasi sebanyak empat hingga lima kali.
Tindakan berulang kumpulan berkenaan turut mendapat perhatian netizen yang menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh keprihatinan masyarakat terhadap isu sekeliling.
Seorang netizen memberi komen bahawa tindakan berkenaan menunjukkan konsep ‘rakyat jaga rakyat’.
“Alhamdulillah, kesan daripada rakyat jaga rakyat,” katanya.
Sementara itu, yang lain turut memuji usaha dan pasukan Surplus selain berterima kasih kepada DBKL atas tindakan yang telah diambil.
Dalam operasi tersebut, DBKL dilihat menggunakan jentolak bagi kerja-kerja perobohan dan pembersihan kawasan pasar serta laluan sekitar Pudu.
Kerja-kerja berkenaan dipercayai bermula kira-kira pada pukul 11.30 malam, berdasarkan rakaman yang diperoleh.- KOSMO! ONLINE
The post DBKL gempur penjaja haram Pudu appeared first on Kosmo Online.






